4.9.12

Latihan Cerpen - Israk

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.
   
    “TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.
  
   Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.
  
   “Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!”
  
   Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.
  
   “Abang, kalau tanpa Wah, pa tidak lahir ke dunia. Sekali gus kita berdua pun tidak melihat dunia seperti sekarang.”
  
   “Teori pembiakan manusia itu abang sudah tahu. Tak perlu diajar lagi!”
  
   “Ini peluang bagi abang... rebutlah. Jangan pula abang menyesal kemudian hari.”

                                                  (Dipetik daripada cerpen ‘Israk’ dalam antologi Harga Remaja)

(i)   Nyatakan tiga tingkah laku negatif yang ditunjukkan oleh Israk dalam petikan di atas. [3 markah]

(ii)  Pada pendapat anda, apakah perkara yang wajar dilakukan oleh tetamu apabila berada di rumah orang? [3 markah]

(iii)  Huraikan satu nilai murni dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai murni lain daripada cerpen tersebut secara keseluruhan. [3 markah]