15.8.25

Tatabahasa : Penyuntingan - jawapan L2

Petikan 1

i.   pada masa kini – pada masa ini / kini
ii.  kedua – kedua-dua
iii. gerakan – penggerak
iv.  selain daripada itu – selain itu
v.   gulungan – golongan
v.   automatif – automotif
vii. aero-angkasa – aeroangkasa

Petikan 2
i.   di kalangan – dalam kalangan
ii.  oleh kerana itu – oleh sebab itu / oleh itu
iii. pembentukan – membentuk
iv.  nilai-nilai – nilai

Tatabahasa : Penyuntingan - Latihan 2

Dalam petikan 1, terdapat tujuh kesalahan bahasa manakala petikan 2 terdapat empat kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap petikan anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada jumlah kesalahan yang dinyatakan dalam soalan. Anda tidak perlu menyalin petikan-petikan tersebut.

Petikan 1
Bidang sains dan teknologi mendominasi kemajuan dalam banyak lapangan pada masa kini. Justeru, pihak kerajaan dan pihak swasta menumpukan perhatian yang serius dalam kedua lapangan itu sebagai penjana pembangunan negara. Rakyat yang berperanan sebagai gerakan kemajuan tidak wajar meminggirkan diri daripada bidang-bidang yang sudah diterima sebagai pemangkin kemajuan. Selain daripada itu, MARA pula membuka peluang kepada gulungan remaja untuk menceburkan diri dalam industri automatif dan aero-angkasa. Kita wajar menyokong pendekatan yang diambil oleh kerajaan agar pengaplikasiannya dapat memastikan kejayaan bagi dasar yang sudah ditetapkan itu. [7 markah]

Petikan 2
Penolakan tingkah laku yang tidak sesuai di kalangan masyarakat akan mengukuhkan kerjasama dan menyisihkan unsur yang dapat menggugat keharmonian negara. Oleh kerana itu, peranan pendidikan agama dan pendidikan moral sangat penting untuk pembentukan keluarga yang penuh dengan nilai-nilai positif. Apabila setiap anggota masyarakat dapat mempraktikkannya, tentu sekali mereka akan berusaha untuk membaiki kelemahan masing-masing. [4 markah]

Tatabahasa : Penyuntingan - jawapan L1


Petikan 1
i.    kediaman – habitat
ii.   penternakan – penternak
iii.  memperolehi – memperoleh
iv.  indek – indeks
v.   oksijen – oksigen
vi.  masa ke semasa – masa ke masa / semasa ke semasa

Petikan 2
i.    boleh robot lakukan – boleh dilakukan oleh robot
ii.   berbagai – pelbagai/ berbagai-bagai
iii.  mengambil-alih – mengambil alih
iv.  kepada – pada
v.   di dalam – dalam

Tatabahasa : Penyuntingan - Latihan 1


Dalam petikan 1, terdapat enam kesalahan bahasa manakala dalam petikan 2 terdapat lima kesalahan bahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap petikan anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada jumlah kesalahan yang dinyatakan dalam soalan. Anda tidak perlu menyalin petikan-petikan tersebut.

Petikan 1

Udang harimau memerlukan sumber air payau masin sebagai kediaman. Biasanya, penternakan akan membina kolam berhampiran sungai dan laut untuk memperolehi sumber air payau masin. Parameter indek kualiti air akan diperiksa seminggu sekali untuk memastikan keadaan fizikal air kolam seperti suhu, pH, oksijen terlarut dan kadar kemasinan yang sesuai untuk tumbesaran udang. Dari masa ke semasa juga keadaan fizikal kolam perlu dipastikan tidak mengandungi plankton yang boleh menjejaskan pembiakan udang harimau. [6 markah]


Petikan 2

Banyak tugas yang boleh robot lakukan dengan lebih efektif. Manusia boleh memanfaatkan penggunaan robot untuk berbagai tujuan. Robot boleh mengambil-alih tugas manusia sebagai pekerja kilang, pembantu rumah, penghibur dan sebagainya. Tidak mustahil suatu masa nanti, manusia akan terlalu bergantung kepada robot untuk melakukan kerja. Robot akan berada di mana-mana untuk membantu manusia menjalankan tugas di dalam pelbagai rutin kehidupan. [5 markah]

14.7.25

K2 : S8(i) - Pemahaman

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

"Kenapa ayah tak pernah ceritakan kepada kami perkara ini?" tanya Adnan lagi.
"Ayah sengaja merahsiakannya kerana itu adalah pesanan datuk kamu. Ayah juga berpesan kepada kamu rahsiakan perkara ini dan jangan hebahkan kepada sesiapa."
"Kenapa pula ayah?" Adnan menggaru-garu kepala.
"Moyang kita penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah. Oleh itu, ayah tak mahu orang ramai memandang serong kepada kita," jawab Pak Saidi.
"Kenapa pula mereka memandang serong?" tanya Adnan lagi.
"Ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka. Ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris," jawab Pak Saidi.
"Baru saya faham, ayah. Ceritalah lagi tentang asal-usul keturunan kita," kata Adnan.

(Dipetik daripada novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib)

Nyatakan sebab-sebab ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka. [4 markah]
-pesanan datuk Adnan
-moyang mereka penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah
-ayah Adnan tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka
-ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka
-ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris
(3 isi – 4 markah)
 
Contoh jawapan:
Ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka kerana akur akan pesanan datuk Adnan. Selain itu, perkara itu disebabkan moyang mereka merupakan penentang Inggeris dan menjadi orang buruan penjajah. Di samping itu, dia merahsiakan hal itu kerana tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka.