13.2.12

Sintaksis - Jadual Cakap Ajuk dan Cakap Pindah

Cakap ajuk

Cakap pindah

saya, aku, hamba, patik

dia, ia, nya

beta/keturunan raja

baginda

kita, kami

mereka

kamu, awak, engkau, anda

-nama-

dia

dia

mereka

mereka

ini

itu

sini

situ, sana, tempat itu

di sini

di situ, di sana, di tempat itu

ke sini

ke situ, ke sana, ke tempat itu

begini

begitu

demikian ini

demikian itu

sekarang

pada masa itu/ ketika itu

tadi

tadinya itu

malam tadi

malam sebelumnya

esok

pada keesokan harinya

semalam

hari sebelumnya

kelmarin

hari sebelumnya/ pada hari kelmarinnya

ibu saya

ibunya

ya

mengaku/mengizinkan/dsb.

tidak

menidakkan/menafikan

bukan

menolak/menafikan

hello

bercakap menerusi telefon/ menelefon

2.2.12

Contoh Kaedah Menjawab Soalan Prosa Klasik

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta, tersebutlah perkataan Encik Pung. Setelah sudah, hendak beranak. Maka disorokkan oleh Laksamana. Sampailah sudah, berputera seorang laki-laki, terlalu baik parasnya. Waktu sudah keluar baginda itu, maka disuruh larikan oleh Encik Pung. Dia tiada mahu memandang puteranya itu, teringat akan sumpahnya dengan Bendahara. Dan Laksamana mencari orang yang boleh menyusui yang boleh menanggung rahsia. Dari kepada itu, Laksamana mencari akal, hendak melepaskan anak raja itu, keluar negeri Johor itu. Dan Laksamana pun pergi ke Selat Singapura, mendapatkan Raja Negara Selat. Dan Laksamana pun berbicara dengan Raja Negara, “Dan bagaimana bicara saudara kita, jikalau ada putera Duli Yang Dipertuan Marhum Mangkat Dijulang, mahukah saudara memelihara akan dia? Kerana tuan oleh kita.” Dan Raja Negara pun berkata, “Jikalau jalan rosak, sahaya-sahaya sekalian reda juga, oleh sebab tuan kita yang asal.” Maka kata Laksamana, “Sahaya minta hantar kepada Temenggung Muar,” kerana, Temenggung Muar itu pangkat saudara oleh Laksamana, dan, “bawalah surat sahaya.”

(i) Apakah maksud bagaimana bicara saudara kita dalam petikan di atas? [2 markah]

(ii) Apakah tindakan-tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Encik Pung menyerahkan anaknya kepada Laksamana? Berikan alasan-alasan anda. [3 markah]

Cadangan jawapan :

(i) Apakah maksud bagaimana bicara saudara kita dalam petikan di atas? [2 markah]

Isi :
-bagaimana = apakah/ ingin mengetahui/ ingin tahu akan
-bicara = pandangan/ pendapat
-saudara = Raja Negara Selat
-kita = Laksamana

Jawapan :
Maksud rangkai kata itu ialah Laksamana ingin mengetahui pandangan Raja Negara Selat.


(ii) Apakah tindakan-tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan? [3 markah]

Isi :
-Laksamana mencari orang yang boleh menyusui
[Laksamana mencari orang yang boleh menyusui bayi itu]

-yang boleh menanggung rahsia
[Laksamana mencari orang yang dapat menyimpan rahsia tentang kelahiran bayi itu]

-Laksamana mencari akal, hendak melepaskan anak raja itu, keluar negeri Johor itu
[Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa keluar bayi itu/ anak Encik Pung/ putera raja itu dari negeri Johor] atau [Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa bayi itu/ anak Encik Pung/ putera raja itu keluar dari negeri Johor]

-Laksamana pun pergi ke Selat Singapura, mendapatkan Raja Negara Selat. Dan Laksamana pun berbicara dengan Raja Negara.
[Laksamana pergi ke Selat Singapura untuk berjumpa dan mendapatkan pandangan Raja Negara Selat]

-kata Laksamana, “Sahaya minta hantar kepada Temenggung Muar,” kerana, Temenggung Muar itu pangkat saudara oleh Laksamana, dan, “bawalah surat sahaya.”
[Laksamana meminta Raja Negara Selat menghantar anak itu kepada Temenggung Muar bersama-sama sepucuk surat]

Jawapan :
Antara tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan ialah Laksamana berusaha mencari orang yang boleh menyusui bayi itu. Laksamana juga mencari orang yang dapat menyimpan rahsia tentang kelahiran bayi itu. Selain itu, Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa keluar anak Encik Pung itu dari negeri Johor. Laksamana terlah pergi ke Selat Singapura untuk berjumpa dan mendapatkan pandangan Raja Negara Selat. Laksamana juga meminta Raja Negara Selat menghantar anak itu kepada Temenggung Muar bersama-sama sepucuk surat.


(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Encik Pung menyerahkan anaknya kepada Laksamana? Berikan alasan-alasan anda. [3 markah]

wajar
-demi keselamatan anaknya/ elak anak dibunuh oleh Bendahara
-Laksamana orang yang dapat dipercayai/ sahabat Encik Pung/ bijak/ setia/ bertanggungjawab
-masa depan anaknya lebih baik jika dipelihara oleh orang lain/ anaknya boleh berdikari (untuk masa depan)
-supaya dia berpeluang menjadi raja/ menuntut haknya

tidak wajar
-anak itu kehilangan kasih sayang keluarga kandung
-masa depan anak itu belum tentu terjamin jika dipelihara oleh orang lain/ tidak boleh meramal masa depan
-Encik Pung mementingkan diri sendiri/ menyusahkan orang lain kerana terpaksa memelihara anaknya/ tidak berperikemanusiaan/ kejam
-anak itu tidak akan dapat mengenali ibunya
-anak itu tidak akan tahu akan asal usul keturunannya

Jawapan :
Pada pendapat saya, Encik Pung wajar menyerahkan anaknya kepada Laksamana. Hal ini kerana dia perlu memastikan keselamatan anaknya itu terjamin. Selain itu, Laksamana ialah orang yang dapat dipercayai dan bertanggungjawab. Di samping itu, tindakan tersebut memberi peluang kepada anaknya itu untuk menuntut hak sebagai raja apabila dia dewasa kelak.

Latihan Prosa Klasik - Hikayat Khoja Maimun

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Selama peninggalan Khoja Maimun belayar itu, sebermula ada pada suatu hari maka Bibi Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap mahligainya berangan-angan serta memandang pada jalan seraya itu maka pada ketika itu terpandanglah kepada anak raja di dalam negeri itu lalu berkuda hampir dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun memandang ke bawah maka terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi Zainab terlalu elok rupanya anak raja itu. Sebermula anak raja pun memandang kepada isteri Khoja Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu dibawanya tersenyum oleh anak raja itu. Dengan takdir Allah Taala maka anak raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah hatinya akan anak raja itu.

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergilah sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!”

(Dipetik daripada 'Hikayat Khoja Maimun' dalam antologi Harga Remaja)

(i) Nyatakan maksud meluluskan maksud aku dalam petikan di atas. [2 markah]

(ii) Apakah perkara yang dilakukan oleh Bibi Zainab semasa berada di tingkap mahligainya?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh perempuan yang ditemui oleh anak raja itu? [3 markah]

6.1.12

Silang kata novel 'Renyah'


Melintang
1. Isteri Hasnol yang mahu hidup mewah.
4. Datuk Dolhi dan Albert Lee berjoging di Bukit .....
5. Memusnahkan hidup Dani.
6. Hasnol diburu oleh pihak ..... kerana rasuah.
7. Bidang pekerjaan Amera
10. Isteri kedua Datuk Dolhi
14. Hasnol lebih suka ..... gaji daripada mengambil alih tugas Datuk Dolhi di Dolhi-Albert Holding.
15. Perniagaan yang mahu diceburi oleh Datin Tominah
18. Datuk Dolhi mahu mencontohi budaya kerja di negara .....
19. Ilham cuba menghalang kerja pembalakan di negeri .....

Ke bawah
2. Datuk Dolhi berbincang dengan isterinya, Datin Tominah tentang masalah anak-anak mereka. - Teknik .....
3. Pembaca tertanya-tanya sama ada Hasnol sanggup mengambil rasuah daripada Tengku Munir atau tidak.- Teknik ..........
5. Hasnol bekerja sebagai pegawai tadbir .....
8. Usaha Datuk Dolhi mahu mencari ketenangan di Tanah Suci!
9. Pengganti Datuk Dolhi untuk menerajui syarikat.
11. Tengku Munir mahu Hasnol memastikan ......... diluluskan dengan merasuahinya.
12. Mahu berkahwin dengan Amera
13. Mahu berdakwah
16. Bidang yang diminati oleh Dani.
17. YB yang menjadi menantu Datuk Dolhi

2.11.11

Latihan Puisi Tradisional - Pantun Empat Kerat (Budi)

Baca pantun di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Pantun Empat Kerat (Budi)

Terang bulan terang di paya,
Anak kambing memakan rumput;
Jika tak kenang kepada saya,
Nama yang baik tidak tersebut.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Anak itik terenang-renang,
Air pasang tenang-tenangan;
Budi sedikit bila kan hilang,
Itu menjadi kenang-kenangan.

Anak ikan berlima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun;
Kasih tuan saya terima,
Sebagai hutang seribu tahun.

(Antologi Harga Remaja)

i. Apakah maksud sebenar baris sebagai hutang seribu tahun? [3 markah]

ii. Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa dapat memastikan anak-anak mengamalkan nilai murni? [3 markah]

iii. Kemukakan tiga pengajaran berdasarkan pantun di atas. [3 markah]