Ada banyak contoh dalam al-Quran dan Hadis yang menceritakan faedah berfikiran positif, tabah dan bersikap optimistik ketika ditimpa kesusahan. Walau bangaimanapun adakah anda tahu bahawa kesabaran dan berpandangan positif dalam kehidupan merupakan dua jenis penawar paling mujarab yang anda boleh gunakan?
Daripada penemuan sains moden, jelas menunjukkan bahawa rahmat Allah selalunya datang dalam bentuk kesihatan yang baik.
Bernard Jensen berkata, dalam bukunya The Science and Practice of Iridology, "Para doktor sekarang berpendapat bahawa fizikal seseorang bukanlah penggerak utama tubuh badan, akan tetapi minda yang mengawalnya". Kenyataan ini disokong oleh Dr Ted M. Morter dalam bukunya , Your Health... Your Choice, ketika beliau mengatakan " pemikiran negatif merupakan pengeluar asid nombor satu dalam badan ( dan kandungan asid yang melebihi dalam badan merupakan penyebab utama penyakit ) kerana tubuh anda akan bertindak balas terhadap minda yang negatif dan tekanan emosi yang dihasilkan oleh fikiran, sama seperti tindak balasnya terhadap keadaan sebenar apabila fizikal menerima kecederaan atau kesakitan".
Sekiranya kita tahu bahawa otak merupakan organ, dan bekerja dengan harmoni bersama organ yang lain, dan mendapat tenaga dari aliran darah yang sama dengan organ lain, kita dapat memahami bagaimana pelbagai peristiwa mental boleh mempengaruhi kita secara fizikal. Sebagai contoh, menggunakan otak cuma untuk berfikir dan membuat ulang kaji akan membakar nutrien (zat makanan untuk tubuh badan) dalam sistem badan kita, terutama sekali fosforus. Oleh yang demikian kita akan mengalami kekurangan fosforus apabila otak kita bekerja keras. Kita mendapati juga bahawa sebaliknya yang berlaku dalam hubungan ini, orang yang banyak menggunakan otak dan mempunyai tahap keintelektualan yang tinggi biasanya mempunyai kandungan fosforus yang tinggi juga dalam sistem badan mereka.
Banyak hikmah yang terkandung dalam sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Huairah R.A, "Orang yang kuat itu bukanlah mereka yang dapat menumbangkan lawan dengan kekuatannya, akan tetapi orang yang kuat itu mereka yang dapat menahan kemarahan". Bersabar dan berada dalam keadaan tenang merupakan kunci kepada kekuatan fizikal.
Bukan sahaja fosforus yang boleh terhakis akibat mengalami tekanan pemikiran dan hilang ketenangan jiwa. Sekiranya kelenjar tiroid, iaitu organ utama yang mengawal emosi bekerja melebihi had masanya, kita boleh menderita akibat kekurangan iodin. Tekanan dalam kerjaya, perceraian, atau lainnya boleh menyebabkan kehilangan kalium dan natrium dalam badan, sebab ia boleh mempengaruhi kelenjar adrenal mencipta banyak keperluan untuk mineral-mineral ini.
Bahkan penyakit hypoglycemia (kurang glukosa/darah rendah) boleh diakibatkan oleh perasaan kegembiraan yang melampau. Atas dasar inilah Nabi S.A.W amat menyarankan kesederhanaan dalam hidup, walau bagaimanapun kita kerap kali melibatkan diri dalam hal-hal yang mengembirakan, seperti menonton tv, pergi membeli belah, menonton wayang, keraian, dan lain-lain lagi. Apabila kita melihat sesuatu yang mengujakan, bahagian luar kelenjar adrenal akan terangsang, lalu peningkatan gula dalam darah akan berlaku. Keadaan ini akan merangsang pankreas untuk merembeskan insulin ke dalam darah bagi mengawal tahap gula yang stabil dalam darah, proses ini akan mengakibatkan kita terasa letih dan lemah.
Berfikir positif akan melahirkan ketenangan dan kesihatan tubuh badan, yang daripada nikmat itu akan terucaplah "Alhamdulillah", ucapan syukur kepada Allah terhadap apa yang kita dapat dan apa yang kita lalui. Sebagai seorang mukmin kita sepatutnya menghidupkan suasana yang tenang, jauh daripada tekanan dan kelam kabut, sama ada di rumah ataupun di pejabat.
Antara cara yang boleh kita kurangkan kesan daripada tekanan tersebut ialah sentiasa mengawasi tekanan perasaan yang kita hadapi dan ambil makanan tambahan yang boleh menambahkan nutrien seperti makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Contohnya, jika mereka yang bangun untuk solat malam atau membaca al-Quran ketika Ramadhan, mereka boleh mengambil makanan yang kaya dengan fosforus, ini boleh membantu mereka dalam mengimbangi pengambilan fosforus. Bagi mereka yang dalam bermusafir, melancong atau menunaikan haji dan umrah, mereka mungkin perlu mengambil lebih makanan yang mengandungi kalium dan natrium yang tinggi seperti vitamin B complex.
Bukan sahaja fizikal yang memerlukan vitamin dan makanan tambahan, bahkan jasmani juga memerlukannya. Kesihatan mental dan fizikal juga berkait rapat dengan kesihatan rohani, rohani yang sakit akan mengarahkan mental untuk mengharuskan semua perkara termasuk yang haram. Dengan itu, fizikal akan melakukan dan akan menerima akibat yang bakal diahadapi.
Sekiranya kita tidak mengendahkan kaitan antara kesihatan mental dan fizikal, barangkali kita akan kehilangan perkara-perkara penting dalam ruang lingkup kesihatan diri. Dan dalam kebanyakan masalah kesihatan, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mencari ubat atau penawar.
Oleh yang demikian langkah yang terbaik untuk menghindarkan diri dari mempunyai sikap negatif, dan dikuasai oleh emosi ialah dengan mengamalkan kebijaksanaan dan ilmu yang di ajarkan oleh al-Quran dan Hadis. ucapkan "Alhamdulillah" dengan rezeki yang kita perolehi, "InsyaAllah" dengan perkara yang kita maksudkan dan akan lakukan, "Subhanallah" ketika kita melihat sesuatu yang menakjubkan. Ucapkan "Astaghfirullah" apabila kita hilang kawalan diri dan berada dalam keadaan lemah, dan yang paling penting, ucapkan "Allahu Akbar", apabila kita berhadapan dengan dugaan dan cabaran dalam kehidupan.
Selalulah kita mengamalkan zikir-zikir doa-doa amalan harian yang diajarkan oleh rasulullah agar mulut kita dibasahi dengan perkara yang di redhai Allah dan hati kita sentiasa mengingati Allah. Moga dengan amalan ini diri kita sentiasa dipelihara Allah dari segala kerosakan dan hati kita sentiasa mengingati kebaikan. Oleh yang demikian kita akan berada dalam ketenangan yang berpanjangan.
Jika kita mengamalkan zikir-zikir ini dengan istiqamah, umpama kita mengambil multi-vitamin untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan yang baik. Zikir akan membawa ketenangan dalam diri, dan ketenangan membuatkan kita berfikir serta menggunakan otak dengan baik.
Kita sangat prihatin terhadap kesihatan fizikal, namun kita lupa kepada kesihatan spiritual, tanpa kita sedar bahawa kesihatan spiritual amat penting dalam mengekalkan kesihatan fizikal.
Diterjemah dan diolah oleh abuafnan
Artikel asal oleh Karima Burns
http://www.islamonline.net