16.12.20

Latihan Novel

Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua peristiwa yang menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat. [7 markah]

Novel Bimasakti Menari
-masyarakat yang membuat tuduhan secara melulu/ tanpa usul periksa
Buktinya, Nurul Hafsa pada awalnya bersikap negatif apabila membuat tuduhan dan sangkaan yang salah terhadap Muhammad Taufik yang memagar kawasan anak sungai di Kampung Kuantan. Sebenarnya tujuan Muhammad Taufik berbuat demikian ialah untuk memastikan iaitu supaya kelip-kelip mempunyai tempat untuk bersembunyi. Dia akan meruntuhkan pagar tersebut apabila populasi kelip-kelip pulih semula.

-masyarakat yang mementingkan keuntungan material berbanding dengan kelestarian alam sekitar
Buktinya, pelbagai bentuk pembangunan material dijalankan dengan pesat oleh pengusaha industri yang mementingkan keuntungan di Kuala Selangor menyebabkan berlakunya pencemaran cahaya yang menjejaskan aktiviti pencerapan bintang dan mengurangkan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan.

-masyarakat yang berdendam terhadap pesaing dalam perniagaan
Buktinya, Dato' Johann Arlington-Majid sudah lama berdendam dengan Tan Sri Muhaimin kerana kejayaan Tan Sri Muhaimin dalam bidang perniagaan. Dia juga marah kerana Maryam Wickham memilih Tan Sri Muhaimin sebagai pasangan hidupnya.

-masyarakat yang sanggup melakukan jenayah untuk mencapai matlamat yang dikehendaki
Buktinya, Dato' Johann Arlington-Majid sanggup mengupah penjenayah untuk menyerang Muhammad Taufik ketika balik dari masjid. Selain itu, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik turut diculik sehinggalah dibebaskan oleh dan penculik upahan ditangkap di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Bestari Jaya.

Contoh jawapan:

       Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

     Antara kepincangan yang berlaku dalam masyarakat yang terdapat dalam novel ini ialah ada kalangan masyarakat yang mementingkan keuntungan material berbanding dengan kelestarian alam sekitar. Buktinya, pelbagai bentuk pembangunan material dijalankan dengan pesat oleh pengusaha industri yang mementingkan keuntungan di Kuala Selangor. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pencemaran cahaya yang menjejaskan aktiviti pencerapan bintang dan mengurangkan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan.
 

      Selain itu, terdapat juga masyarakat yang berdendam terhadap pesaing dalam perniagaan. Buktinya, Dato' Johann Arlington-Majid sudah lama berdendam dengan Tan Sri Muhaimin kerana kejayaan Tan Sri Muhaimin dalam bidang perniagaan. Selain itu, dia juga marah kerana Maryam Wickham memilih Tan Sri Muhaimin sebagai pasangan hidupnya.