20.5.07

Rumusan kesan bahan bacaan picisan

Soalan 1
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tuliskan satu rumusan tentang kesan bahan bacaan picisan terhadap generasi muda dan langkah-langkah membendung penyebarannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahan bacaan picisan semakin membanjiri pasaran dengan kemunculan berbagai-bagai buku, novel, majalah, komik dan tabloid yang berunsur hiburan, lucah, tahayul dan pop. Di pasaran terbuka sahaja, tidak kurang daripada puluhan bahan penerbitan seumpamanya dalam bahasa Melayu telah diterbitkan setiap bulan. Ini belum lagi termasuk dalam bahasa Cina, Tamil dan Inggeris serta yang diimport dari luar negeri dan dijual secara meluas di pasaran terbuka atau yang diseludup masuk ke negara ini. Bahan picisan ini mendapat sambutan yang menggalakkan, khususnya golongan kanak-kanak, pelajar dan remaja. Ini kerana kandungannya ringan, menghiburkan dan mengghairahkan. Paparan yang terkandung dalam bahan bacaan itu tidak semuanya benar, tetapi banyak mengandungi bahan yang karut. Golongan pembaca yang masih mentah ini, mudah terpengaruh dengan bahan yang tidak benar itu. Malah terdapat unsur lucah yang tidak sesuai untuk bacaan umum, khususnya remaja, sekali gus boleh merosakkan pemikiran mereka yang masih mentah.

Bahan picisan sedemikian bukan sahaja tidak membantu perkembangan minda pembacanya, malahan menjadi antara punca berlakunya berbagai-bagai masalah juvenil dalam masyarakat. Pada hakikatnya, kita tidak boleh menolak fakta bahawa sebahagian kejadian jenayah yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini mempunyai hubungan dengan penerbitan bahan-bahan picisan yang berunsur lucah dan ganas. Penggunaan imej wanita dalam pelbagai bahan penerbitan picisan ini juga merupakan suatu bentuk pengeksploitasian dan penghinaan yang berleluasa terhadap mereka. Harga wanita diletakkan dengan begitu murah sekali semata-mata bagi melariskan penjualan bahan picisan yang diterbitkan tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab sosial.

Bagi golongan penerbit ini, perkara yang lebih penting ialah nilai komersial dan keuntungan yang boleh didapati. Persoalan apa yang akan berlaku terhadap masyarakat dan anak bangsanya tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Oleh sebab itulah bahan bacaan berbentuk picisan yang terdapat di pasaran semakin bertambah dari semasa ke semasa walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk membendungnya. Bagi remaja pula, mereka sanggup mengeluarkan wang saku yang sepatutnya digunakan untuk membeli makanan dan buku. Ibu dan ayah memberikan wang untuk perbelanjaan harian, tetapi wang itu mengalir ke jalan yang salah. Dengan memilih bahan bacaan yang tidak berfaedah, sesetengah remaja akan banyak berkhayal.


Soalan 2(a) : Petikan Umum [9 markah]
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud semakin membanjiri pasaran dalam petikan di atas.
[2 markah]

ii. Mengapakah penerbit bahan bacaan picisan dipersalahkan?
[3 markah]

iii. Pada pendapat anda, mengapakah bahan-bahan bacaan berbentuk ilmiah kurang mendapat sambutan daripada masyarakat?
[4 markah]