20.5.07

Rumusan masalah untuk menghapuskan rasuah

Soalan 1
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian rumuskan masalah untuk menghapuskan gejala rasuah dan kesan rasuah terhadap pembangunan negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Ada anggota dalam perkhidmatan awam yang memerangi rasuah dengan bersungguh-sungguh. Mereka bukan sahaja mengelakkan diri daripada terlibat dalam amalan ini, malah telah melaporkan hal itu kepada pihak yang berkuasa. Sikap kakitangan seperti inilah yang diharapkan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga membolehkan badan berkenaan bertindak ke atas 924 orang yang dituduh memberikan rasuah dalam tempoh tiga tahun yang lalu. Pengamal rasuah itu telah pun didakwa di mahkamah. Walau bagaimanapun, jumlah pengamal rasuah yang sebenarnya jauh lebih besar daripada angka tersebut.

Rasuah, makan suap, tumbuk rusuk atau apa-apa saja istilahnya, merupakan penyakit sosial yang semakin merebak. Rasuah bukan sahaja terdapat dalam bentuk wang tunai dan untuk mempercepat kelulusan sesuatu projek sahaja, malah rasuah boleh wujud dalam apa-apa bentuk dan untuk sebarang tujuan. Hal ini telah menular dan menjadi barah, baik di sektor awam mahupun di sektor swasta. Rasuah, sama seperti virus berbahaya, dapat menyusup ke mana-mana saja, dan menyerang sesiapa sahaja. Usaha memerangi amalan ini bukan mudah. Hal ini demikian kerana tidak banyak orang yang tabah hatinya dan kuat imannya, sehingga dapat menolak rasuah yang bernilai jutaan ringgit. Malah, banyak orang yang boleh menjadi kelabu mata apabila dihulurkan rasuah, walaupun nilainya hanya RM100.00.

Sebenarnya, masalah ini bukan terletak pada undang-undang. Kekurangan kakitangan untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut telah menyukarkan tindakan diambil. Selain itu, tindakan mengesan amalan rasuah biasanya terpaksa melalui proses yang panjang dan berliku-liku. Banyak aduan dan tuduhan tentang rasuah yang melibatkan berbilion-bilion ringgit masih belum dapat dibawa ke muka pengadilan, walaupun proses siasatannya telah berjalan bertahun-tahun.

Banyak juga siasatan tentang kes ini yang terpaksa dihentikan. Bukti dan fakta yang kukuh untuk mendakwa pihak yang terlibat bukanlah senang untuk diperoleh. Selain itu, taktik perasuah yang semakin canggih menyebabkan perasuah terlepas begitu sahaja walaupun umum mengetahui rasuah telah dilakukan dan melibatkan jumlah suapan yang besar. Pemberi dan penerima rasuah tetap bertukar ganti dalam masa yang begitu pantas. Kerajaan berusaha menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 11B Akta Pencegahan Rasuah 1997. Seksyen 17 akta yang sama diwujudkan oleh pihak berkuasa yang menghendaki kakitangan awam membuat aduan sekiranya mereka cuba ditumbuk rusuk oleh mana-mana pihak. Namun, bagaimanakah masalah ini mampu dikurangkan jika pihak yang menolak tawaran rasuah enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa? Semakin pesat negara membangun, semakin banyaklah peluang ekonomi untuk rakyat. Akan tetapi, peluang ekonomi yang terhidang itu telah menggalakkan kemunculan beraneka bentuk rasuah dalam kalangan rakyat jelata.

Soalan 2(a) : Petikan Umum [9 markah]
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud rangkai kata hal ini telah menular dalam petikan di atas.
[2 markah]

ii. Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk membendung gejala rasuah?
[3 markah]

iii. Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang mendorong berlakunya gejala rasuah?
[4 markah]