30.8.07

Rumusan langkah menangani masalah vandalisme

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah vandalisme dan akibat daripada masalah tersebut. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perbuatan merosakkan harta benda awam atau vandalisme kian hari kian menular di negara kita. Harta benda awam telah dirosakkan sewenang-wenangnya. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengundang pelbagai komplikasi. Pengerusi Jawatankuasa Antivandalisme Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, Datuk Lee Lam Thye mengelaskan vandalisme kepada vandalisme perlakuan, iaitu menjual harta benda yang dicuri, vandalisme dendam dan vandalisme conteng. Gejala negatif ini biasanya melibatkan mereka yang berusia antara 15 hingga 21 tahun. Antara kemudahan-kemudahan awam yang sering menjadi mangsa ialah telefon awam, papan tanda, lif rumah pangsa dan dinding-dinding bangunan. Saban tahun, kerajaan memperuntukkan wang berjuta-juta ringgit untuk meningkatkan keselesaan rakyat dengan menyediakan kemudahan awam kepada rakyatnya. Malangnya, wujud golongan yang tidak berkesedaran sivik tergamak untuk merosakkan harta benda awam ini. Justeru, kita perlu menghalusi punca-puncanya dan mengorak langkah proaktif demi memeranginya ke akar umbi.

Memandangkan ketenatan masalah vandalisme, suatu penyelesaian segera amat diperlukan untuk menghapuskan masalah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak agar menghargai harta benda awam. Pihak sekolah pula harus memberikan bimbingan dan nasihat tentang pentingnya menjaga harta benda awam. Konsep “Masyarakat Penyayang” harus dihidupkan semula supaya para remaja sedar akan peranan mereka selaku pembela bangsa pada hari muka. Masyarakat perlu bersikap proaktif terhadap gejala vandalisme yang dilakukan di kawasan mereka.

Langkah drastik, iaitu mengenakan tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melakukan vandalisme perlu dilaksanakan. Akta Kerajaan Tempatan yang menetapkan sesiapa yang merosakkan harta benda awam boleh didenda RM2000.00 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan perlu dikuatkuasakan. Pihak berkuasa disarankan agar membuat rondaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan remaja. Pesalah-pesalah vandalisme wajar didenda supaya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Selain itu, langkah bersama yang boleh diambil ialah mengadakan program tindakan bersama seperti menganjurkan pameran yang melibatkan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur.

Tindakan setegas-tegasnya amat perlu supaya dapat menimbulkan keinsafan dan memberi pengajaran kepada mereka yang ingin melakukan vandalisme agar berfikir sebelum berbuat demikian. Tindakan ini juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos kerajaan untuk membaiki kerosakan terhadap harta awam. Disebabkan benteng didikan agama yang rapuh, golongan ini akan melakukan kegiatan vandalisme demi mendapatkan perhatian masyarakat.


2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengundang pelbagai komplikasi.
[2 markah]

(ii) Mengapakah tindakan tegas perlu dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat
yang lebih bertanggungjawab? [4 markah]