5.8.07

Rumusan kekangan dalam usaha mewujudkan semangat patriotik

Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang kekangan dalam usaha mewujudkan semangat patriotik dan peranan ibu bapa untuk merealisasikan usaha tersebut. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Setiap kali Malaysia merayakan sambutan Hari Kebangsaan, semua stesen televisyen dan radio akan menyiarkan acara sambutannya. Pihak akhbar tidak ketinggalan juga memaparkan pelbagai berita mengenainya. Di samping itu, tema perbincangan pula lazimnya berkisar pada soal perlunya patriotisme di­tingkatkan kerana patriotisme melibatkan setiap rakyat dan meliputi kemerdekaan serta ke­daulatan negara. Kehangatan perbincangan isu tersebut berhubung terus dengan hasrat kerajaan mewujudkan semangat patriotik yang kental di kalangan rakyat, khususnya golongan belia. Hal ini dititikberatkan kerana alaf baru membawa negara berhadapan dengan pelbagai cabaran baru yang berkaitan dengan persoalan patriotisme.

Banyak pihak yang terpaksa akur bahawa kini semakin berleluasa fahaman individualisme. Pada sudut yang Iain kita berdepan pula dengan asakan globalisasi dan kecanggihan teknologi komunikasi yang mewujudkan per­tembungan antara negara maya dengan negara nyata. Negara maya ialah negara tanpa sempadan seperti dalam konteks internet, komunikasinya dapat dibentuk tanpa memerlukan kerakyatan serta tidak mempunyai ketua yang sah. Dalam era baru ini, kita berdepan juga dengan hakikat bahawa kemerdekaan negara tergugat oleh penjajahan-penjajahan bentuk baru, umpamanya penjajahan budaya dan ekonomi. Kegawatan ekonomi beberapa tahun lalu merupakan percubaan penjajahan baru dalam bentuk ekonomi yang digerakkan oleh kuasa ekonomi asing.

Dari segi pendidikan, penyemaian semangat patriotik pernah dilaksanakan di sekolah-sekolah melalui mata pelajaran Sivik tetapi usaha ini menemukan kegagalan. Kini nilai-nilai patriotisme diterapkan pula melalui mata pelajaran Sejarah, tetapi masalahnya mata pelajaran ini hanya mula diajarkan pada peringkat sekolah menengah. Persoalannya, mampukah mata pelajaran Sejarah memikul tanggung- jawab itu? Cabaran-cabaran itu menjadi premis supaya diadakan penyeragaman semula pemupukan semangat patriotik di kalangan belia. Suatu program khusus pen­didikan patriotisme mesti dilaksanakan dalam bentuk pendidikan kewarganegaraan sebagai sokongan dan susulan kepada mata pelajaran Sejarah. Program ini mesti disegerakan kerana cabaran yang paling besar dalam hal ini ialah mereka tidak menghargai kemerdekaan negara, sedangkan setiap individu dalam setiap generasi mesti bertanggungjawab mempertahankan negara dan menegakkan kedaulatannya. Nilai-nilai patriotisme yang melintasi zaman perlu diterapkan dalam kehidupan mereka; antaranya berbangga sebagai rakyat Malaysia dan bersemangat setia kepada negara. Mereka sewajarnyalah juga menyanjungi semangat kekitaan.

Kita mesti juga berusaha menangani belia yang mengetahui kepentingan ilmu tetapi tidak bersungguh-sungguh mengejar ilmu. Kita tidak harus gagal dalam hal ini. Perkara ini sangat penting untuk meningkatkan patriotisme di kalangan belia. Persoalan-persoalan yang di­timbulkan ini merupakan sebahagian danpada agenda bagi memperlengkap, memperkukuh dan meneruskan perjuangan mengangkat martabat bangsa dan negara ke tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.


Soalan 2(a) : Petikan Umum [9 markah]

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud rangkai kata berhubung terus dengan hasrat. [2 markah]

ii. Apakah nilai patriotisme yang perlu dipupuk dalam diri warga Malaysia? [3 markah]

iii. Sebagai seorang pelajar, apakah bukti-bukti yang boleh menunjukkan anda mempunyai semangat patriotisme yang tinggi? [4 markah]