5.1.08

Rumusan faktor pengangkutan awam semakin tidak popular

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor pengangkutan awam semakin tidak popular dan kewajaran masyarakat mengutamakan perkhidmatannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pengangkutan awam merupakan satu alternatif untuk sampai ke destinasi yang biasa dilihat terutamanya di kota-kota besar. Walau bagaimanapun, sering juga terdengar rungutan tentang masalah masa perjalanan pengangkutan awam di negara kita yang tidak tetap. Perkara inilah yang mendorong sebilangan pekerja menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja daripada menaiki pengangkutan awam. Selain itu, ada yang beranggapan bahawa pengangkutan awam disediakan hanya untuk golongan yang kurang mampu. Oleh hal yang demikian, mereka tidak mahu untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Sikap suka meremehkan perkhidmatan pengangkutan awam harus dikikis daripada pemikiran kita semua. Hal ini demikian kerana pengangkutan awam mempunyai kepentingan dan peranannya yang tersendiri dalam membantu orang ramai sampai ke destinasi. Di negara-negara maju pengangkutan awam telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyatnya. Senario seumpama ini belum wujud sepenuhnya di negara kita kerana pengangkutan awam bukan saja dianggap tidak cekap, malah sering disalahkan kerana tidak menyediakan perkhidmatan yang mampu memenuhi keperluan para pengguna. Selain itu, mutu pengangkutan awam di Malaysia dikatakan ketinggalan jika dibandingkan dengan mutu pengangkutan awam di negara-negara lain. Sebagai akibatnya, pengangkutan awam menjadi semakin tidak popular di kalangan masyarakat kita dan kepentingannya hilang di tengah-tengah arus pembangunan negara. Selain itu, ada dakwaan lain yang menyebut bahawa banyak terdapat perkhidmatan teksi dan bas yang dijadikan pengangkutan awam sudah uzur dan tidak layak bergerak di atas jalan raya. Di samping itu, terdapat juga kereta sewa yang beroperasi sebagai pengangkutan awam tetapi kebanyakannya dalam keadaan yang cukup uzur dan usianya melebihi sepuluh tahun.

Kesulitan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam pada waktu puncak sudah berlarutan beberapa Iama dan perkara ini melemahkan semangat mereka untuk menggunakannya. Oleh sebab itu, langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ini jika kerajaan mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Perkhidmatan bas misalnya, perlu ditambah dan diperkemas jadual perjalanannya supaya tidak terus menimbulkan kesulitan kepada orang ramai yang terpaksa menunggu ketibaan bas secara tidak menentu sebelum mereka sampai ke tempat yang dituju. Dalam tempoh terdekat ini suatu kempen besar-besaran perlu dilakukan untuk menarik minat orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Syarikat pengangkutan awam pula wajar menyediakan insentif kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh mereka, misalnya dengan memberikan potongan harga bagi perjalanan jangka masa panjang.

Soalan 2(a)
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i. Apakah maksud alternatif untuk sampai ke destinasi dalam petikan di atas?
[2 markah]

ii. Bagaimanakah perkhidmatan pengangkutan awam dapat dibaiki? [3 markah]

iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah masalah penumpang yang dikenakan bayaran yang mahal oleh pemandu teksi dapat ditangani? [4 markah]