9.10.09

Penggunaan kata hubung berpasangan

[...catatan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim]

Kata hubung berpasangan ialah kata hubung yang hadir dalam ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada sepasang perkataan. Satu kata hubung hadir di bahagian hadapan ayat, yakni dalam ayat pertama, manakala yang kedua hadir kemudian dalam ayat kedua. Contohnya ialah pasangan “lebih baik...daripada” dalam ayat “Lebih baik mereka pergi dengan bas daripada memandu kereta sendiri.”

Lazimnya makna yang dibawa membawa maksud yang bertentangan. Contoh ayat kedua ialah “Daripada kita makan gaji, lebih baik bekerja sendiri.”

Seterusnya ialah pasangan “sama ada ... atau”, seperti dalam ayat “Sama ada berita itu benar atau tidak belum pasti,” dan “Dia belum menyatakan sama ada akan meneruskan perjalanan atau bermalam di sini.”

Contoh kata hubung pasangan yang ketiga ialah “adakah/apakah ... atau (pun)”, seperti dalam ayat ini: “Adakah berita ini benar atau (pun) khabar angin semata-mata?”

Kesimpulannya, kata hubung berpasangan ini ialah kata hubung dalam ayat majmuk gabungan. Fungsinya menggabungkan dua ayat yang setara sifatnya, dan maksud yang dibawa lazimnya berbentuk pertentangan.

Ada juga ayat yang digabungkan dengan kata hubung seperti “walaupun”, “meskipun”, “andai kata”, dan seumpama itu. Sebenarnya kata-kata hubung ini hadir dalam ayat pancangan keterangan dan lazimnya tidak berpasangan. Kata hubung jenis ini juga membawa maksud perten tangan. Contohnya, “Dia masih mahu pergi walaupun hari sudah lewat,” dan “Meskipun badannya letih, Ali tetap hadir di majlis itu.”

Dengan kata lain, kata hubung seperti “walaupun, meskipun” dan “andai kata” tidak sama kategorinya dengan kata hubung berpasangan yang dibincangkan di atas. Yang pertama ialah kata hubung keterangan, manakala yang kedua ialah kata hubung gabungan. Tentang “justeru” pula, perkataan ini dipinjam daripada bahasa Indonesia. Kadang-kadang kita di Malaysia menggunakannya mengikut resam kita dan tidak seperti yang digunakan dalam bahasa itu.