14.4.11

Dirgahayu Bahasaku (Ahmad Sarju)

Maksud
Rangkap 1

Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa yang berkedudukan tinggi. Martabatnya dijunjung tinggi dan sebati di jiwa bangsa Melayu yang terkenal dengan budi bahasa, kesetiaan dan sikap amanah.

Rangkap 2
Bahasa dilihat sebagai imej/ identiti/ harga diri/ simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan kedudukannya agar terus teguh dan mantap dan menjadi wahana yang berkesan dalam proses mengkaji ilmu selain berperanan penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan.

Rangkap 3
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang dengan semangat yang kental untuk mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada di dunia ini.

Rangkap 4
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah yang gemilang sebagai pelayar yang hebat. Mereka begitu berani menjelajah ke seluruh pelusuk dunia dalam menjalin perhubungan diplomatik dan menjalin persaudaraan dengan masyarakat luar. Bermula dengan usaha itulah, bahasa Melayu mula tersebar dan menunjukkan kemampuannya sebagai bahasa yang berwibawa.

Rangkap 5
Bahasa Melayu sentiasa disanjung tinggi. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bahasa Melayu sangat indah dan menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu dimanfaatkan dengan mudah untuk menjalin silaturahim dan sangat bertatasusila. Bahasa Melayu dicetuskan oleh bangsa Melayu yang menempa kejayaan demi kejayaan dari semasa ke semasa.

Tema
Semangat cinta akan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.

Persoalan
i. Kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa pertuturan utama di negara ini.

ii. Perjuangan memartabatkan bahasa.
Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.

iii. Sejarah kegemilangan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya yang tersendiri.

iv. Fungsi atau peranan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi.
Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Nilai Murni
i. Bersopan santun.
Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.

ii. Kesetiaan.
Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan. Bangsa Melayu tetap setia menggunakan bahasanya sendiri.

iii. Amanah.
Warisan bangsa perlu dipertahankan. Bangsa Melayu bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan martabat bahasa Melayu.

iv. Kasih sayang.
Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai dan mempertahankan bahasanya sendiri.

v. Bersatu padu
Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatu padu.

vi. Hormat-menghormati
Masyarakat antarabangsa menghormati status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

vii. Keberanian
Bangsa Melayu terkenal sebagai pelayar yang hebat ke seluruh pelusuk dunia.

Pengajaran
i. Kita hendaklah menunjukkan rasa sayang dan bangga sebagai penutur bahasa Melayu.

ii. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu .

iii. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

iv. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan dihormati serta diiktiraf oleh masyarakat dunia

Contoh Soalan KBKK
ii. Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk memartabatkan bahasa Melayu. [3 markah]