17.6.11

Pasar Perasaan (T. Alias Taib)

Maksud
Rangkap 1
Penyajak mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.

Rangkap 2

Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih bersifat luahan perasaan semata-mata dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.

Rangkap 3

Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang asas pertimbangan dan fakta yang kukuh. Hujah-hujah yang dilontarkan pula rapuh dan mudah disangkal.

Rangkap 4

Di warung jugalah para pengunjung silih berganti keluar dan masuk. Warung kerap menjadi tumpuan untuk bersembang. Di sinilah mereka kerap berbual-bual dan berdebat kosong tanpa membuahkan pandangan yang bernas dan dapat dimanfaatkan.

Rangkap 5

Para pengunjung memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong menjadi keutamaan walaupun tidak membawa kebaikan.

Rangkap 6

Penyajak cuba menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pengunjung gerai lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding berpandukan fakta dan ilmu.

Rangkap 7

Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka yang sukan bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa sebarang faedah.

Tema
Perbincangan dan perdebatan kosong pengunjung-pengunjung kedai kopi.
Kedai kopi sering dikaitkan sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Sering berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.

Persoalan
i. Perbincangan kosong dan tidak ilmiah dan hanya mengikut emosi.

ii. Luahan pendapat yang sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.

iii. Pendapat tanpa ilmu dan fakta yang mudah dipatahkan dan ditepis.

iv. Kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujah.

v. Masa yang disia-siakan tanpa melakukan perkara berfaedah.

Nilai Murni
i. Rasional.
Sikap rasional diperlukan bagi memastikan setiap tutur kata atau tindakan tidak
menimbulkan masalah dan mengeruhkan keadaan.

ii. Berhati-hati.
Sikap berhati-hati sangat penting ketika menyuarakan pendapat.

iii. Kebijaksanaan.
Seseorang itu perlu bijak berkata-kata dengan menggunakan akal fikiran, bukannya
menurut hati atau perasaan.

Pengajaran
i. Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberi pendapat.

ii. Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta.

iii. Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana hanya mendedahkan kelemahan diri
sendiri.