19.6.11

Pungut @ Zahara @ Yap Siew Hong (Mohamed Latiff Mohamed)

Tema
Ketabahan seorang ibu dalam membesarkan anak angkat yang cacat sejak masih bayi hingga dewasa dengan penuh kasih sayang.

Persoalan
i. Perasaan kasih sayang seorang ibu angkat terhadap anak angkatnya.

ii. Keyakinan pada qada' dan qadar.

iii. Kepercayaan terhadap amalan karut seperti anak yang membawa sial.

v. Sikap tidak berperikemanusiaan ibu kandung.

Watak dan perwatakan
Mak Timah
-ibu kandung kepada Katijah dan Munah.
-ibu angkat kepada Zahara binti Muhamad alias Yap Siew Hong.
-ibu yang penyayang, iaitu amat menyayangi Pungut yang dianggap seperti darah dagingnya sendiri.
-prihatin dan bertanggungjawab, iaitu sanggup mengambil Pungut sebagai anak angkat kerana kasihan akan Pungut yang dibuang oleh keluarga kandungnya.
-isteri yang mengambil berat akan kepayahan hutang suaminya.
-mesra dengan jiran tetangga.

Pungut
-nama sebenarnya ialah Zahara binti Muhamad alias Yap Siew Hong.
-berketurunan Cina.
-berumur 24 tahun.
-badannya hanya bersaiz sebiji buah betik ketika dilahirkan.
-gadis yang cacat dan tidak dapat berdikari untuk melakukan sebarang perkara.
-diserahkan oleh neneknya, Bibik kepada Mak Timah setelah ibunya, Siew Lan tidak mahu menjaganya.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat yang bersimpati atau prihatin terhadap nasib golongan kurang upaya. Contohnya, Mak Timah sanggup mengambil Pungut sebagai anak angkat kerana kasihan akan Pungut yang cacat dan dibuang oleh keluarga kandungnya.

ii. Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan terhadap zuriat sendiri.
Contohnya, Siew Lan sanggup menyerahkan anak kandungnya, Pungut kepada Mak Timah kerana Pungut cacat dan dianggap membawa sial.

iii. Masyarakat yang mementingkan diri.
Contohnya, anak bongsu Mak Timah mendesak Mak Timah supaya menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat kerana tidak mahu Mak Timah bersusah payah menjaga Pungut sedangkan kesihatannya sendiri tidak menentu.

iv. Masyarakat kampung yang berbilang kaum dan hidup dalam keadaan aman.
Contohnya, Mak Timah yang berbangsa Melayu dan Bibik yang berbangsa Cina hidup aman damai dalam satu komuniti kejiranan di sebuah perkampungan.

Nilai Murni
i. Kasih sayang.
Contohnya, Mak Timah amat menyayangi Pungut sehingga dia sanggup bersusah payah dan berkorban demi Pungut.

ii. Belas kasihan.
Contohnya, Mak Timah sanggup mengambil Pungut sebagai anak angkat kerana kasihan akan Pungut yang cacat dan tidak diterima oleh keluarga kandungnya.

iii. Amanah.
Contohnya, Mak Timah memelihara Pungut yang cacat dengan tabah.

iv. Kecekalan.
Contohnya, Mak Timah sanggup menghadapi pelbagai dugaan dengan cekal sepanjang memelihara Pungut.

v. Bertanggungjawab.
Contohnya, antara sebab Mak Timah sanggup mengambil Pungut sebagai anak angkat adalah untuk meringankan beban hutang suaminya apabila Bibik memberinya wang sebanyak seratus lima puluh ringgit.

Pengajaran
i. Kita mestilah bersifat penyayang terhadap sesama insan tanpa mengira seseorang itu normal atau cacat.
Contohnya, Mak Timah amat menyayangi anak angkatnya, Pungut walaupun cacat.

ii. Kita hendaklah bersimpati terhadap orang yang bernasib malang supaya nasib mereka terbela.
Contohnya, Mak Timah sanggup mengambil Pungut sebagai anak angkatnya kerana bersimpati akan nasib Pungut yang tidak diterima oleh keluarga kandungnya.

iii. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan supaya jiwa beroleh ketenangan.
Contohnya, Mak Timah sanggup menghadapi pelbagai dugaan dengan tabah sepanjang memelihara Pungut.

iv. Kita mestilah amanah dan ikhlas dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab supaya dihormati oleh orang lain.
Contohnya, Mak Timah memelihara Pungut yang cacat dengan baik sekali.