19.6.11

Pahlawan Buntung (S. Othman Kelantan)

Tema
Keberanian pejuang tanah air yang sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan bangsa dan negara daripada serangan penjajah dan anasir yang mengancam keselamatan penduduk setempat.

Persoalan
i. Semangat patriotisme yang tinggi seorang pejuang.

ii. Ketabahan mengharungi pelbagai kesulitan dan keperitan pada zaman perang.

iii. Kasih sayang yang menebal dalam sesebuah keluarga.

iv. Kerjasama yang erat dalam sebuah komuniti.

v. Kekacauan dan pergolakan yang berlaku semasa pendudukan tentera Jepun.

vi. Kezaliman dan kekejaman pihak penjajah terhadap penduduk tempatan.

Watak dan perwatakan
Pak Husain
-mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
-bijak mengatur strategi apabila mengarahkan penduduk kampung berpindah ke Kampung Dal sebelum hari cerah.
-bijak membuat helah, iaitu berjaya melepaskan diri daripada tawanan askar Jepun dengan memberikan alasan mahu membuang air besar.
-berani membedil sekumpulan perompak yang mencuba merompak rumah Pak Ngah Isa dengan menggunakan senapang yang diperoleh daripada askar Punjabi.
-sanggup berkorban dan bergadai nyawa demi mempertahankan kampungnya daripada ancaman askar Jepun dan kawanan perompak.

Khalid
-menghargai jasa Pak Husain yang telah menyelamatkan penduduk kampungnya daripada menjadi mangsa askar Jepun dan ancaman perompak.
-mengagumi keberanian Pak Husain sehingga dia dan penduduk kampung memberikan gelaran “pahlawan” kepada Pak Husain.

Latar
Latar Tempat
i. Rumah Khalid.
Contohnya, Khalid dan keluarganya dikejutkan dengan bunyi bedilan dan ledakan bom yang kuat sebagai akibat serangan askar Jepun.

ii. Kampung Pulau Pak Amat.
Contohnya, penduduk kampung terpaksa berpindah ke Kampung Dal untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa serangan Jepun.

iii. Kampung Dal.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat berteduh dan menumpang tinggal di rumah saudara-mara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa serangan askar Jepun.

iv. Kampung Tuk Lukup, Sungai Gali, Pulau Tukang Dolah, Pulau Panjang, Pengkalan Cepa, Ketereh, Dasar, dan Sabak.
Contohnya, kawasan kampung dan kubu yang telah diserang dan ditawan oleh askar Jepun.

v. Kota.
Contohnya, Khalid dan Pak Husain telah bertemu secara tidak sengaja ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

vi. Di dalam perahu.
Contohnya, penduduk kampung tersedar bahawa Pak Husain yang mengetuai perpindahan mereka ke Kampung Dal tidak ikut serta.

Latar Masa
i. Pada tahun 1973.
Contohnya, pada masa itu Khalid berumur 44 tahun.

ii. Pada tahun 1941.
Contohnya, zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (sewaktu Khalid berumur 14 tahun).

iii. Pada tahun 1946.
Contohnya, Pak Husain telah terpijak pecahan bom yang ditanam oleh askar Jepun menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong.

iv. Waktu malam.
Contohnya, Khalid dan keluarganya terdengar bunyi bedilan dan ledakan bom yang kuat akibat daripada serangan askar Jepun.

v. Awal pagi/ subuh.
Contohnya, Pak Husain telah pergi ke rumah Khalid dan mengarahkan Hassan iaitu ayah Khalid, membawa keluarganya ke pangkalan untuk berpindah ke Kampung Dal.

vi. Waktu siang.
Contohnya, askar Jepun memaksa dan memerintahkan Pak Husain menguburkan mayat-mayat askar Punjabi dan orang mati di dalam sebuah kubur besar di Pulau Pak Amat.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perkampungan di tepi laut dan tepi sungai. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat dan Pulau Panjang tinggal di kawasan perkampungan di tepi laut dan di tepi sungai.

ii. Masyarakat yang menjadi mangsa peperangan.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat terpaksa meninggalkan rumah dan kampung mereka untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa bedilan bom.

iii. Masyarakat Melayu yang saling bekerjasama dalam menghadapi susah senang zaman perang. Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat saling bekerjasama menghadapi susah senang semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

iv. Masyarakat penjajah/ askar asing yang bertindak kejam terhadap penduduk kampung. Contohnya, Jepun telah menawan Pak Husain dan mengarahkannya menggali kubur untuk menanam mayat askar Punjabi dan orang mati.

v. Masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Contohnya, Pak Husain sanggup pergi ke kota dengan bertongkat kayu semata-mata kerana mahu meraikan sambutan hari kemerdekaan negara.

vi. Masyarakat yang bekerja sebagai nelayan.
Contohnya, kebanyakan penduduk di Kampung Pulau Pak Amat bekerja sebagai nelayan.

Nilai Murni
i. Kasih sayang.
Contohnya, selaku ketua keluarga, Hassan amat menyayangi isteri dan anak-anaknya, iaitu Salim, Khalid, dan Fatimah.

ii. Patriotisme/ cinta akan negara.
Contohnya, Pak Husain sanggup menggunakan tongkat kayu untuk menghadiri sambutan hari kemerdekaan negara di kota kerana cinta akan negara.

iii. Ketabahan/ Kecekalan.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat tabah menghadapi keperitan hidup sewaktu zaman perang.

iv. Keberanian.
Contohnya, Pak Husain berani membedil sekumpulan perompak yang masih berada di dalam perahu ketika mereka baru sahaja mendarat di Kampung Pulau Pak Amat.

v. Bekerjasama.
Contohnya, Penduduk Kampung Pulau Pak Amat saling bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.

vi. Bertanggungjawab.
Contohnya, Pak Husain mengarahkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat agar segera berpindah setelah askar Jepun mendarat di pantai kampung mereka.

vii. Bersimpati.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat berkongsi kesedihan apabila mengetahui kejadian malang yang menimpa Pak Husain yang terpijak serpihan bom di benteng Kuala Pak Amat sehingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong.

viii. Mengenang jasa.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat mengiktiraf jasa Pak Husain dengan memanggilnya sebagai “pahlawan”.

ix. Pengorbanan.
Contohnya, Pak Husain sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat daripada menjadi mangsa serangan askar Jepun dan ancaman perompak.

Pengajaran
i. Kita hendaklah tabah menghadapi kesulitan dan keperitan hidup lebih-lebih lagi pada zaman perang.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat tabah menghadapi kesulitan dan keperitan sewaktu pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

ii. Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sebarang pekerjaan. Contohnya, Penduduk Kampung Pulau Pak Amat bekerjasama ketika menyelamatkan diri daripada serangan askar Jepun.

iii. Kita mestilah berani bertindak untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Contohnya, Pak Husain telah membedil sekumpulan perompak yang masih berada di dalam perahu ketika mereka baru sahaja mendarat di Kampung Pulau Pak Amat untuk menyelamatkan rumah Pak Ngah Isa daripada dirompak.

iv. Kita hendaklah mengenang jasa atau bakti seseonang yang banyak berbudi kepada bangsa dan tanah air.
Contohnya, penduduk Kampung Pulau Pak Amat mengenang jasa Pak Husain dan memberikan gelaran “pahlawan” kepadanya.

v. Kita mestilah sanggup berkorban demi keselamatan bangsa dan tanah air tercinta.
Contohnya, Pak Husain sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan penduduk Kampung Pulau Pak Amat daripada menjadi mangsa serangan askar Jepun dan ancaman perompak.