28.7.11

Penanggungan (Wijaya Mala)

Sinopsis
Kapten Mamat menghadapi konflik dalam dirinya setelah Baharom, iaitu seorang kelasinya meninggal dunia selepas terjatuh dari tiang geladak kapal yang dikemudi oleh Kapten Mamat. Masnah, janda kepada arwah Baharom ialah saudara jauh sebelah bapanya. Masnah datang menuntut haknya sebagai seorang janda. Kapten Mamat sangat bersimpati dengan Masnah namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Isteri Kapten Mamat cuba menenteramkan Masnah namun gagal. Masnah meluahkan kekecewaannya kerana nasibnya tidak terbela selepas kematian Baharom. Kapten Mamat berjanji untuk membela nasib Masnah. Keadaan menjadi kelam-kabut apabila Masnah tiba-tiba pengsan. Isteri Kapten Mamat menyuruhnya memanggil bomoh. Namun Kapten Mamat tidak percaya akan khidmat bomoh. Dia menyuruh isterinya memercikkan air ke muka Masnah. Akhirnya, Masnah sedar semula. Kapten Mamat menyuruh Masnah balik ke kampung untuk menenangkan jiwanya. Dia juga menyuruh Masnah berjumpa dengan doktor untuk mengetahui penyakit yang dialaminya. Masnah akhirnya akur dengan nasihat Kapten Mamat. Sehebat mana penanggungan masalah yang dihadapinya, Masnah akur dengan ketentuan Tuhan bahawa setiap makhluk yang bernyawa akan mati.

Tema
Tanggungjawab pada amanat kehidupan yang terpaksa dilalui atas ketentuan Ilahi.
Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kematian Baharum, suami Masnah. Baharum yang menjadi kelasi kapal yang diketuai oleh Kapten Mamat telah meninggal dunia kerana terjatuh dari atas tiang agung ke atas geladak.Kapten Mamat bertanggungjawab terhadap kehidupan Masnah dan dua anaknya setelah kematian Baharum. Masnah pula bertanggungjawab terhadap kehidupan diri dan dua orang anaknya setelah kematian suaminya.

Persoalan
i. Kesengsaraan hidup janda setelah kematian suami.
Masnah terpaksa mengharungi kehidupan tanpa seorang suami.

ii. Perasaan bersalah yang menghantui jiwa.
Kapten Mamat rasa bersalah kerana Baharum, suami Masnah telah menemui ajal di atas
kapal yang diterajuinya.

iii. Perasaan simpati atas penderitaan hidup orang lain.
Isteri Kapten Mamat simpati terhadap penderitaan yang ditanggung oleh Masnah setelah
kehilangan suami .

iv. Sikap reda menghadapi ketentuan Allah.
Masnah akhirnya reda akan ketentuan Allah, iaitu setiap makhluk yang hidup pasti akan
mati.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Kapten Mamat
-Bekerja sebagai kapten kapal.
-Seorang pesara.
-Prihatin terhadap masalah anak buahnya.
Kapten Mamat prihatin terhadap nasib yang menimpa Masnah sekeluarga setelah kematian
suaminya Baharum..
-Berasa bertanggungjawab atas kematian Baharum.
Kapten Mamat berjanji kepada Masnah bahawa selagi dia masih hidup, keluarga Masnah akan dibantu.

Watak Sampingan
i. Masnah
-Janda Baharum.
-Mempunyai dua orang anak.
-Setia dan penyayang terhadap suami dan anak-anaknya.
Masnah amat menyayangi suaminya meskipun Baharum sudah meninggal dunia.
-Mengalami kesusahan hidup selepas kematian suami.
Masnah merasa keperitan hidup setelah dia kehilangan suami yang menjadi tempat
bergantung selama ini.

ii. Isteri Kapten Mamat
-Simpati terhadap nasib malang orang lain.
Dia amat simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga Masnah.
-Percaya akan perubatan bomoh.
Dia menyuruh suaminya memanggil bomoh untuk mengubati penyakit yang dihidapi oleh
Masnah.

Latar
Latar Masa
i. Tengah hari yang panas terik dan berangin sehingga langsir rumah Kapten Mamat
berterbangan dan dia membuka bajunya.

Latar Tempat
i. Rumah Kapten Mamat.
Dia membuka baju dan membiarkan tubuhnya dihembus angin.

ii. Anjung rumah Kapten Mamat.
Masnah memimpin tangan anaknya naik ke anjung.

iii. Kapal.
Tempat Baharum terjatuh kerana memanjat geladak ketika laut bergelora.

Latar Masyarakat
i. Masyarakat yang cekap menghadapi cabaran.
Kapten Mamat berusaha mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh isteri dan anak-anak
arwah Baharum.

ii. Masyarakat yang bertanggungjawab menjaga kebajikan.
Setelah kematian Baharum, kesatuan sekerja akan membayar pampasan.

iii. Masyarakat yang bersimpati atas penderitaan orang lain.
Kapten Mamat terharu dan prihatin terhadap penderitaan Masnah dan anak-anaknya yang
telah hilang tempat bergantung.

iv. Masyarakat yang menghormati tetamu.
Isteri Kapten mamat menghidangkan minuman kepada Masnah.

Nilai Murni
i. Bersimpati
Contohnya, Kapten Mamat bersimpati atas nasib yang menimpa Masnah dan anak-anaknya.

ii. Kasih sayang
Contohnya, Masnah amat mengasihi suaminya dan amat sukar menerima realiti bahawa
suaminya sudah meninggal dunia.

iii. Keberanian
Contohnya, Kapten Mamat berani menghadapi cabaran bekerja di laut.

Pengajaran
i. Kita hendaklah bersimpati atas nasib malang yang menimpa ahli keluarga dan juga sahabat
handai.
Contohnya, Kapten Mamat bersimpati dengan nasib Masnah dan anak-anaknya setelah
kematian Baharum.

ii. Suami isteri hendaklah saling menyayangi antara satu sama lain.
Contohnya, Masnah tetap mengasihi suaminya walaupun suaminya telah pergi buat selama-
lamanya.

iii. Kita mestilah menjadi pemimpin yang berani terutama dalam menghadapi situasi yang
genting.
Contohnya, Kapten Mamat bijak mengemudi kapal di lautan terutama ketika laut bergelora.