26.8.11

Latihan Drama - 1400

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

INTAN SITI RAHIMAH : Sebenarnya, kita akan dapat cahaya mata.

PAK TUAN DOLAH : Apa? Betul?

INTAN SITI RAHIMAH : Betul.

PAK TUAN DOLAH : Dengar dan dengar betul-betul. Intan mesti jaga diri baik-baik, sebab anak ini anak penyambung baka. Apa-apa Intan mahu minta saja. Kita tambahkan orang gaji, supaya Intan lebih selesa. Kita tambahkan anjing lagi, supaya Intan dijaga dengan lebih ketat. Jangan
pergi ke surau lagi.

INTAN SITI RAHIMAH : Jangan ke surau?

PAK TUAN DOLAH : Jangan terima sesiapa pun yang datang dari kampung. Jangan tengok muka-­muka orang kampung. Pantang.

INTAN SITI RAHIMAH : Pantang?

PAK TUAN DOLAH : Dan, yang mustahak sekali, jangan makan ikan, ketam, udang dari sungai di kampung ini.

INTAN SITI RAHIMAH : Mengapa sampai begitu sekali?

PAK TUAN DOLAH : Jangan soal, dengar saja. Mesti makan benda-benda yang baik. Kita boleh order dari luar negara.

(Dipetik daripada drama ‘1400’ oleh Noordin Hassan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)

(i) Nyatakan perkara-perkara yang dipesan oleh Pak Tuan Dolah kepada Intan Siti Rahimah.
[3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa dapat mewujudkan keluarga yang bahagia? Kemukakan tiga saranan anda. [3 markah]

(iii) Huraikan satu persoalan dalam petikan drama di atas dan satu persoalan yang lain dalam keseluruhan drama tersebut. [3 markah]