19.8.11

Drama Tiang Cengal Dinding Sayung (Suriani Mohd Yusof)

Sinopsis

Mak Jimah isteri Pak Jumaat sangat sedih apabila Pak Jumaat didapati hilang semasa kejadian ombak tsunami di Kedah. Anak-anak Mak Jimah iaitu Sabri, Shahrul, Sabariah dan Salmah, manakala Sani anak angkatnya cuba menenangkan perasaan Jimah agar sabar menghadapi takdir Tuhan. Shahrul meminta pertolongan Sani agar menyatakan hasratnya pulang ke Kuala Lumpur kepada emaknya kerana telah tamat cuti, sebaliknya Sani meminta Shahrul sendiri memberitahunya. Sabariah yang panas baran baru balik dari London menyalahkan bapanya (Jumaat) yang terus turun ke laut untuk menangkap ikan. Sebenarnya dia telah mengirim wang kepada ibu bapanya supaya mereka tidak perlu bekerja. Sikapnya ditegur oleh Pak Man, seorang jiran yang menganggap mereka tidak memahami Mak Jimah. Salmah merupakan anak Jimah yang baru balik dengan pakaian seksi dimarahi Sabariah supaya menukar pakaian sebelum berjumpa emaknya. Berlaku pertengkaran antara Sabri dengan Sabariah untuk menyerahkan tugas menjaga emak mereka. Sikap mereka ditegur Pak Man. Sikap anak-anaknya menyebabkan Jimah menyerahkan kembali buku bank hasil pemberian mereka. Sabariah memarahi Mak Jimah yang masih berharap bapa mereka akan selamat. Dalam keadaan kecoh itu Wahid dan Senin mengambil kesempatan untuk menipu serta mencuri barangan mangsa tsunami. Akhirnya Jumaat dijumpai dan dikhabarkan oleh Man Bengap serta menyatakan Sani sahaja diminta menemani Mak Jimah menjemput Jumaat di balai polis. Walau bagaimanapun, atas sikap bertolak ansur Sani maka mereka sama-sama menjemput Jumaat. Sabariah, Salmah, Shahrul memohon maaf kepada Mak Jimah. Pak Man dan Mak Jah terharu dengan peristiwa itu. Atas pengajaran peristiwa yang menimpa Mak Jah, maka Pak Man berfikir bahawa dia harus bersyukur mempunyai Man Bengap walaupun hanya sebagai cucu angkat tetapi dapat menghiburkannya terutama pada masa dia dan isterinya kesunyian.

Pemikiran
Kepincangan sikap anak-anak yang tidak sabar dan mementingkan diri sendiri dalam menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Persoalan
i. Kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bagi.
ii. Sikap hormat menghormati antara ahli keluarga.
iii. Perasaan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.
iv. Sikap jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.
v. Sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.
vi. Kepincangan masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

Watak dan perwatakan
Watak utama
Jimah
· Setia, penyayang dan bertanggungjawab.
Setiap hari Jimah ke tepi pantai menanti kepulangan suaminya yang hilang di tengah laut.
· Penyabar.
Jimah sentiasa berdoa kepada Tuhan sejak kejadian suaminya hilang di laut.

Watak sampingan
i. Sani
· Bertanggungjawab dan penyabar.
Dia sangat mengambil berat akan emak angkatnya terutama ketika bapanya hilang di laut.

ii. Sabri
· Penyabar.
Mahu semua adik beradiknya menenteramkan emaknya selagi mayat bapa mereka tidak dijumpai.

iii. Sabariah
· Pemarah
Dia menyalahkan bapanya kerana masih pergi ke laut walaupun wang belanja bulanan dikirim setiap bulan.

iv. Shahrul
· Mementingkan kerjaya
Shahrul hendak balik ke Kuala Lumpur walaupun nasib yang menimpa bapanya belum dapat dipastikan.

vi. Pak Man
· Prihatin
Pak Man menyuruh isterinya Mak Jah memujuk Jimah yang begitu sedih kerana kehilangan suaminya.

Latar masyarakat
· Masyarakat yang enggan menyusahkan orang lain/ anak-anak
Contohnya, Jimah dan Jumaat tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dengan tetap mencari rezeki pada usia emas.
· Masyarakat yang prihatin dalam memberikan bantuan
Contohnya, Pak Man datang menziarahi dan memberikan sokongan moral kepada keluarga Jimah semasa kehilangan Jumaat.
· Masyarakat yang berpendidikan tinggi
Contohnya, anak-anak Jimah berjaya dengan kerjaya masing-masing; Sani sebagai doktor manakala Shahrul pula sebagai akauntan.
· Masyarakat yang mementingkan kerjaya
Contohnya, Shahrul mahu cepat kembali ke Kuala Lumpur untuk bekerja walaupun khabar berita ayahnya masih belum diketahui.
· Masyarakat yang sangat menghormati ibu bapa
Contohnya, Sani dan isterinya, Wan Malini sangat menghormati dan menyayangi Jimah dan Jumaat.

Nilai murni
i. Kasih sayang.
ii. Kesetiaan.
iii.Hormat-menghormati.
iv.Nasihat-menasihati.
v. Bertanggungjawab.

Pengajaran
i. Ibu bapa hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan memberi pendidikan kepada anak-anaknya.
Contohnya Pak Jumaat dan Mak Jimah memberi pendidikan kepada anak-anaknya sehingga ke universiti.
ii. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita.
Contohnya, Sani menyayangi Pak Jumaat dan Mak Jimah sepenuh hati walaupun dia hanya anak angkat.
iii. Kita perlu menyesal dan insaf akan kelemahan diri sendiri.
Contohnya, Sabariah insaf atas kesilapannya yang tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapanya.
iv. Kita perlu bersyukur dengan apa-apa yang kita miliki.
Contohnya, Man Bengap bersyukur dengan kehidupannya yang serba kekurangan.
v. Kita perlu menjaga hubungan yang baik dalam keluarga.
Contohnya, anak-anak Mak Jimah tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri dan mengguris perasaan ibu.