23.9.11

Latihan Prosa Klasik - Dua Geliga Hikmat

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata peri itu, “Ya tuanku tuan puteri, apalah salahnya tuan puteri bersaudara dengan Inderaputera kerana ia pun anak raja besar.”

Setelah tuan puteri mendengar kata yang demikian itu makin bertambah-­tambah kasih akan Inderaputera itu dan berkata segala bidadari itu, “Ya tuanku tuan puteri, segeralah tuan puteri kembali kerana mahligai kita sunyi senyap.”

Maka berkatalah Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran, “Hai kakanda, berilah mari bajunya beta itu dan gemala hikmat itu hamba berikan kepada kakanda!”

Maka diambilnya oleh Inderaputera baju itu lalu diberikan kepada tuan puteri.

Maka kata tuan puteri, “Hai kakanda, jikalau hendak akan hikmat itu marilah kakanda pergi ke mahligai hamba itu!”

Maka ujar Inderaputera, “Bagaimana kakanda pergi ke mahligai mengikut adinda kerana kakanda tiadalah tahu terbang, kerana adinda terbang di udara dan kakanda berjalan di bumi?”

Maka kata Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran, “Hai kakanda Inderaputera, duduklah kakanda di atas tabak itu! Jangan kakanda memandang ke belakang nescaya gugur ke bumi.”

Hatta maka Inderaputera pun duduklah di tabak. Setelah sudah duduk maka Inderaputera pun berkata kepada tuan puteri, “Maka janganlah adinda tuan mengubahi janjian dengan kakanda.”

Maka sahut oleh tuan puteri, “Tiada demikian kerana sudah hamba bersumpah.”

(Dipetik daripada “Dua Geliga Hikmat” dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)


(i) Nyatakan maksud rangkai kata nescaya gugur ke bumi. [2 markah]

(ii) Bagaimanakah Inderaputera boleh mendapatkan gemala hikmat yang dijanjikan oleh Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah Inderaputera memberitahu kepada Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran supaya jangan mengubahi janjinya? [3 markah]