Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
TUK WALI keluar dengan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok miring. Penampilannya cukup hebat.
MAK UMI : Awak ni bersilat ke nak pergi menikah?
TUK WALI : (Berdiri gagah sambil memejamkan mata membaca doa pelangkah) Hari ini Khamis, langkah kanan, langkah pendekar.(Menekan lubang hidung kanan! Menarik nafas dari lubang hidung kiri.) Nafas lancar kiri kanan. Gerak hari ini, gerak menyerang! Tak perlu bertahan atau berundur, boleh mengumpan tapi berpada…yang eloknya biar menyerang terus sampai musuh tumbang.
MAK UMI : Tak mengapa undur selangkah ke belakang untuk maju dua langkah ke hadapan!
TUK WALI : Itu silat kamu, silat aku lain.
MAK UMI : Mesti menepis, mengelis, tepat, mengelak untuk masuk menyerang.
TUK WALI : Tak payah menepis, mengelak, buang masa! Kalau menyerang dengan petua yang betul, insya-Allah mengena.
RIPIN menunggang motosikal ke halaman rumah.
RIPIN : Wah, hebat betul, wak! Gugur iman janda-janda kampung hulu tu nanti!
MAK UMI : Entah! Pengantin pun tak bersolek macam tu!
TUK WALI : Aku dah tua, Ripin! Orang tua macam aku ni ibarat orang baru baik sakit! Semangat nak makan tu ada, tapi nak menyuap tak larat.
TUK WALI dan RIPIN ketawa besar.
(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja)
i. Apakah bukti bahawa Mak Umi tidak suka melihat cara Tuk Wali berpakaian?[2 markah]
ii. Pada pendapat anda, apakah kebaikan mempelajari seni pertahanan diri? [3 markah]
iii. Huraikan satu perwatakan Tuk Wali dalam petikan di atas dan satu perwatakannya yang lain dalam keseluruhan drama. [4 markah]