Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Ibu terus lumpuh dan tidak boleh bergerak lagi. Hanya mata ibu dan mulut ibu yang rancak bergerak seperti arus Ceper pada usia yang lebih muda. Semenjak itu bapa tidak berdenak ketitir lagi meskipun keliling rumah masih tersangkut sangkar-sangkar ketitir yang berbagai-bagai bentuk.
Itulah zaman menderita yang amat pedih bagi kami sekeluarga. Aku sudah kahwin waktu itu dan sudah pun memperoleh dua orang anak. Mujur juga aku peroleh isteri anak kampung yang tidak pantang turun ke sawah dan tidak takut pada lintah dan pacat. Kami berdualah menggantikan tempat ibu.
Meskipun bapa tidak lagi menjadi kaki burung ketitir, bapa sudah agak tua dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Bapa hanya berada di rumah makan dan tidur sahaja. Sikit-sikit boleh juga jaga cucu dan picit-picit tubuh ibu, tetapi bapa sebenarnya sudah dimakan tua waktu itu.
Bapa tidak dapat ampu ibu lagi. Pasti juga tidak boleh angkat ibu ke tandas lagi. Mujurlah yang lumpuh cuma ibu seorang. Kalau bapa juga lumpuh, entahlah. Aku tidak dapat membayangkan masalahnya.
Suatu hari, entahlah bagaimana, aku menjerit kuat sedikit sewaktu ibu sedang berak kerana lama sangat najisnya tidak terbit-terbit. Aku sudah naik kejang kaki tangan kerana lama ampu ibu. Dan aku lihat pipi ibu basah kerana air mata meleleh turun. Isteriku menerpa dan apabila melihat air mata ibu sedang mengalir melalui retak-retak di pipi ibu yang kendur hodoh itu, dia mengambil tempatku.
Itulah detik-detik yang tidak dapat aku lupakan. Aku menyesal dan memohon ampun banyak-banyak daripada ibu. Aku sendiri tidak sedar sewaktu aku menjerit itu.
(Dipetik daripada cerpen 'Ibu dan Ceper' oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja)
(i) Nyatakan penilaian penulis terhadap bapanya. [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah anak-anak dapat membalas jasa ibu bapa? [3 markah]
(iii) Jelaskan satu pengajaran dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran dalam keseluruhan cerpen. [4 markah]