2.2.12

Latihan Prosa Klasik - Hikayat Khoja Maimun

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Selama peninggalan Khoja Maimun belayar itu, sebermula ada pada suatu hari maka Bibi Zainab pun bercintalah akan suaminya. Maka ia pun pergilah duduk di tingkap mahligainya berangan-angan serta memandang pada jalan seraya itu maka pada ketika itu terpandanglah kepada anak raja di dalam negeri itu lalu berkuda hampir dengan mahligai isteri Khoja Maimun. Pada tatkala Bibi Zainab pun memandang ke bawah maka terpandanglah kepada muka anak raja itu, pemandangan Bibi Zainab terlalu elok rupanya anak raja itu. Sebermula anak raja pun memandang kepada isteri Khoja Maimun, terlalu baik parasnya sama berjumpa matanya lalu dibawanya tersenyum oleh anak raja itu. Dengan takdir Allah Taala maka anak raja itu pun berahilah akan Bibi Zainab itu. Adapun akan Bibi Zainab itu pun tersangkutlah hatinya akan anak raja itu.

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergilah sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!”

(Dipetik daripada 'Hikayat Khoja Maimun' dalam antologi Harga Remaja)

(i) Nyatakan maksud meluluskan maksud aku dalam petikan di atas. [2 markah]

(ii) Apakah perkara yang dilakukan oleh Bibi Zainab semasa berada di tingkap mahligainya?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh perempuan yang ditemui oleh anak raja itu? [3 markah]