Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta, tersebutlah perkataan Encik Pung. Setelah sudah, hendak beranak. Maka disorokkan oleh Laksamana. Sampailah sudah, berputera seorang laki-laki, terlalu baik parasnya. Waktu sudah keluar baginda itu, maka disuruh larikan oleh Encik Pung. Dia tiada mahu memandang puteranya itu, teringat akan sumpahnya dengan Bendahara. Dan Laksamana mencari orang yang boleh menyusui yang boleh menanggung rahsia. Dari kepada itu, Laksamana mencari akal, hendak melepaskan anak raja itu, keluar negeri Johor itu. Dan Laksamana pun pergi ke Selat Singapura, mendapatkan Raja Negara Selat. Dan Laksamana pun berbicara dengan Raja Negara, “Dan bagaimana bicara saudara kita, jikalau ada putera Duli Yang Dipertuan Marhum Mangkat Dijulang, mahukah saudara memelihara akan dia? Kerana tuan oleh kita.” Dan Raja Negara pun berkata, “Jikalau jalan rosak, sahaya-sahaya sekalian reda juga, oleh sebab tuan kita yang asal.” Maka kata Laksamana, “Sahaya minta hantar kepada Temenggung Muar,” kerana, Temenggung Muar itu pangkat saudara oleh Laksamana, dan, “bawalah surat sahaya.”
(i) Apakah maksud bagaimana bicara saudara kita dalam petikan di atas? [2 markah]
(ii) Apakah tindakan-tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Encik Pung menyerahkan anaknya kepada Laksamana? Berikan alasan-alasan anda. [3 markah]
Cadangan jawapan :
(i) Apakah maksud bagaimana bicara saudara kita dalam petikan di atas? [2 markah]
Isi :
-bagaimana = apakah/ ingin mengetahui/ ingin tahu akan
-bicara = pandangan/ pendapat
-saudara = Raja Negara Selat
-kita = Laksamana
Jawapan :
Maksud rangkai kata itu ialah Laksamana ingin mengetahui pandangan Raja Negara Selat.
(ii) Apakah tindakan-tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan? [3 markah]
Isi :
-Laksamana mencari orang yang boleh menyusui
[Laksamana mencari orang yang boleh menyusui bayi itu]
-yang boleh menanggung rahsia
[Laksamana mencari orang yang dapat menyimpan rahsia tentang kelahiran bayi itu]
-Laksamana mencari akal, hendak melepaskan anak raja itu, keluar negeri Johor itu
[Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa keluar bayi itu/ anak Encik Pung/ putera raja itu dari negeri Johor] atau [Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa bayi itu/ anak Encik Pung/ putera raja itu keluar dari negeri Johor]
-Laksamana pun pergi ke Selat Singapura, mendapatkan Raja Negara Selat. Dan Laksamana pun berbicara dengan Raja Negara.
[Laksamana pergi ke Selat Singapura untuk berjumpa dan mendapatkan pandangan Raja Negara Selat]
-kata Laksamana, “Sahaya minta hantar kepada Temenggung Muar,” kerana, Temenggung Muar itu pangkat saudara oleh Laksamana, dan, “bawalah surat sahaya.”
[Laksamana meminta Raja Negara Selat menghantar anak itu kepada Temenggung Muar bersama-sama sepucuk surat]
Jawapan :
Antara tindakan Laksamana selepas anak Encik Pung dilahirkan ialah Laksamana berusaha mencari orang yang boleh menyusui bayi itu. Laksamana juga mencari orang yang dapat menyimpan rahsia tentang kelahiran bayi itu. Selain itu, Laksamana berusaha mencari jalan untuk membawa keluar anak Encik Pung itu dari negeri Johor. Laksamana terlah pergi ke Selat Singapura untuk berjumpa dan mendapatkan pandangan Raja Negara Selat. Laksamana juga meminta Raja Negara Selat menghantar anak itu kepada Temenggung Muar bersama-sama sepucuk surat.
(iii) Pada pendapat anda, wajarkah Encik Pung menyerahkan anaknya kepada Laksamana? Berikan alasan-alasan anda. [3 markah]
wajar
-demi keselamatan anaknya/ elak anak dibunuh oleh Bendahara
-Laksamana orang yang dapat dipercayai/ sahabat Encik Pung/ bijak/ setia/ bertanggungjawab
-masa depan anaknya lebih baik jika dipelihara oleh orang lain/ anaknya boleh berdikari (untuk masa depan)
-supaya dia berpeluang menjadi raja/ menuntut haknya
tidak wajar
-anak itu kehilangan kasih sayang keluarga kandung
-masa depan anak itu belum tentu terjamin jika dipelihara oleh orang lain/ tidak boleh meramal masa depan
-Encik Pung mementingkan diri sendiri/ menyusahkan orang lain kerana terpaksa memelihara anaknya/ tidak berperikemanusiaan/ kejam
-anak itu tidak akan dapat mengenali ibunya
-anak itu tidak akan tahu akan asal usul keturunannya
Jawapan :
Pada pendapat saya, Encik Pung wajar menyerahkan anaknya kepada Laksamana. Hal ini kerana dia perlu memastikan keselamatan anaknya itu terjamin. Selain itu, Laksamana ialah orang yang dapat dipercayai dan bertanggungjawab. Di samping itu, tindakan tersebut memberi peluang kepada anaknya itu untuk menuntut hak sebagai raja apabila dia dewasa kelak.