Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang tanggapan negatif sesetengah anggota masyarakat terhadap warga tua dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Jumlah warga tua akan berganda kepada kira-kira 828 juta orang pada tahun 2020 dan sejumlah besar daripada mereka berada di negara-negara membangun. Pertambahan ketara warga tua menjelang waktu itu nanti sebenarnya telah menimbulkan satu kesedaran yang mendesak kepada pengenalan cara dan corak pendekatan yang inovatif dalam sistem ekonomi, sosial dan politik, sama ada dari sudut sebuah negara mahupun dari sudut institusi keluarga. Bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan demografi sejagat, semua pihak perlu mengambil langkah pada usia muda untuk menjaga kesihatan, menuntut ilmu yang bermanfaat, bijak dalam mengatur urusan kewangan, mewujudkan rangkaian kenalan yang luas serta mendidik generasi muda dengan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi.
Peningkatan golongan tua di negara ini bukanlah satu perkara yang membimbangkan tetapi persoalan yang wujud sekarang ialah penerimaan sebahagian anggota masyarakat terhadap golongan tua. Mereka berpandangan bahawa warga tua merupakan satu kelompok masyarakat yang tidak produktif. Tidak banyak orang yang melihat golongan ini sebagai golongan yang patut dihormati sepanjang masa. Mereka mengabaikan golongan tua sebagai pusat rujukan dalam mengharungi cabaran hidup ini. Selain itu, golongan ini dipeleceh sebagai golongan yang sudah ketinggalan zaman.
Pertambahan jumlah penghuni rumah orang-orang tua di negara ini jelas menampakkan kelemahan yang wujud dalam struktur institusi keluarga. Adakah warga tua hanya layak tinggal di tempat-tempat seperti itu? Jumlah mereka yang semakin banyak di tempat-tempat sedemikian seolah-olah mengiakan pandangan tersebut! Perkembangan yang mencemaskan ini membuktikan bahawa sebahagian generasi kini sudah kehilangan nilai-nilai murni, lalai terhadap tanggungjawab serta sibuk sepanjang masa.
Penggerak utama masyarakat, termasuk sektor awam dan swasta, media massa, badan sukarela dan juga kanak-kanak haruslah ditanam dengan satu sikap yang wajar terhadap warga tua menerusi wahana pendidikan yang betul. Warga tua tidak harus dianggap sebagai golongan yang terlalu mengongkong kebebasan. Pembinaan lebih banyak rumah orang-orang tua bukanlah jalan penyelesaian kerana selain menunjukkan kelemahan institusi keluarga, rumah-rumah itu juga akan menambahkan beban kerajaan, khususnya dari segi kewangan, sedangkan hal ini boleh dibendung oleh ahli keluarga itu sendiri. Kita perlu melahirkan semula potensi kepakaran warga tua bagi membuktikan nilai harga diri mereka kepada masyarakat, memberi kefahaman tentang proses penuaan, menolak pandangan buruk terhadap warga tua dan meningkatkan kesejahteraan warga tua melalui penyediaan suasana persekitaran yang penyayang.
Soalan 2(a) : Petikan Umum [9 markah]
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.
i. Berikan maksud seolah-olah mengiakan pandangan tersebut. [2 markah]
ii. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menghargai sumbangan warga tua? [3 markah]
iii. Pada pendapat anda, mengapakah isu warga tua perlu diberi perhatian? [4 markah]