20.4.12

Di Bawah Langit yang Sama

Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Di Bawah Langit yang Sama


Di bawah langit yang sama
Kita hirupi udara
Tanpa mengira Beirutmu
Atau Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama.

Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
Tiada bezanya.

Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.

Aku ingin menyeberangi Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.

Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.

Lim Swee Tin
Antologi Dirgahayu Bahasaku.

(i)  Terangkan maksud tiupkan harapan senada. [3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk mengeratkan perpaduan antara negara di peringkat antarabangsa? [3 markah]

(iii) Jelaskan tema sajak ini. [3 markah]