Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka pada ketika yang baik, Raja Ahmad pergi menemui Raja Muhammad. Apabila berhadapan askar kedua-dua itu, mereka pun berperang. Tempik sorak segala hulubalang dan rakyat kedengaran amat hebat. Askar kedua-dua belah pihak ramai yang mati dan luka sebab beramuk-amuk sesama sendiri. Dalam pergaduhan itu, matilah Raja Muhammad dan Raja Ahmad.
Tinggallah Merah Silu dengan Merah Hasum berdua bersaudara dan saki baki rakyat yang masih hidup. Mereka menyembah mengaku akan taat setia kepada anak raja kedua itu untuk terus tinggal di dalam negeri itu.
Tiada beberapa lama kemudian, Merah Silu berkata kepada saudaranya, Merah Hasum itu,” Hai saudaraku, betapa bicara kita kerana kita ini hanya dua bersaudara tinggal kerana nenek dan ibu bapa kita telah hilang dalam negeri Semerlanga ini! Jikalau kita diam dalam negeri ini, sekali-kali tiada memberi manfaat kepada kita. Baiklah kita pindah dari negeri ini mencari tempat yang baik supaya kita dapat diam di sana.”
Setelah putus bicara dua bersaudara itu, pada ketika yang baik, mereka pun keluar meninggalkan negeri Semerlanga. Mereka mengikut jalan arah matahari mati. Mereka berhenti di sebuah tempat, dan kemudian meneruskan perjalanan. Dengan takdir Allah SWT, mereka sampai di sebuah negeri bernama Beruana. Mereka membuka perkampungan dan diam di sana, di sebelah-menyebelah sungai itu.
(Dipetik daripada ’Merah Silu’ dalam antologi Harga Remaja)
(i) Berikan maksud rangkai kata sekali-kali tiada memberi manfaat petikan di atas. [2 markah]
(ii) Nyatakan tiga kesan yang berlaku akibat daripada peperangan antara Raja Muhammad dengan Raja Ahmad. [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang wajar dilakukan untuk menyelesaikan konflik antara negara?
Huraikan dua langkah. [4 markah]
Jawapan :
(i) -tidak mendatangkan faedah langsung
(ii) -Raja Muhammad dan Raja Ahmad mati dalam peperangan
-banyak askar yang mati dan cedera
-saki-baki rakyat yang masih hidup mengaku akan taat setia kepada Merah Silu dan Merah Hasum
-Merah Silu dan Merah Hasum meninggalkan negeri Semerlanga
-Merah Silu dan Merah Hasum membuka sebuah perkampungan baru di negeri Beruana
(iii) -mengadakan perundingan antara kedua-dua belah pihak yang bersengketa supaya dapat mencari jalan penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak
-melantik orang tengah bagi menyelesaikan masalah supaya situasi tidak meruncing
7.10.13
Latihan Prosa Klasik - Merah Silu
Aspek: Prosa Klasik - soalan Dikirim oleh monasrim pada 15:24