21.2.15

Rumusan faedah industri desa

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah industri desa dan cara-cara memajukan industri desa. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Industri desa dapat ditakrifkan sebagai perusahaan yang bertempat di desa, diusahakan oleh masyarakat desa bagi menghasilkan barang-barang tradisional yang mudah. Industri ini mungkin diusahakan secara individu, berkumpulan melalui koperasi atau syarikat perkilangan. Lazimnya, industri desa diusahakan dalam skala yang kecil, menggunakan bahan-bahan semula jadi tempatan dengan kemahiran bersifat tradisional serta hanya memerlukan pelaburan yang rendah tetapi menghasilkan pulangan yang cepat. Industri ini seperti kraftangan, yang termasuklah anyaman, ukiran, sulaman, serta perusahaan memproses atau membuat makanan seperti keropok, kicap dan sos cili.

Industri desa sememangnya berpeluang cerah untuk dimajukan. Dalam hal ini, SIRIM Berhad telah menggunakan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan nilai tambah produk-produk industri desa. Sokongan daripada SIRIM membuktikan produk industri desa negara kita bermutu tinggi dan mengikut piawaian yang ditetapkan. Memang tidak dinafikan bahawa pada suatu ketika dahulu industri ini melalui zaman kegelapan, namun fenomena peralihan teknologi dan perubahan minda rakyat telah mengubah nasib industri ini hingga mampu memberikan sumbangan seiring dengan industri moden.

Kini, industri desa telah berjaya menguasai pasaran domestik. Bukan setakat itu, industri ini kini telah menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini merupakan suatu kejayaan cemerlang bagi industri kecil yang mampu meneroka peluang perniagaan berteraskan import dan eksport. Industri ini juga mampu membantu memperkukuh ekonomi negara melalui penjualan produk sama ada di dalam negara mahupun di pasaran global. Pengeksportan hasil industri desa ini mampu mengukuhkan nilai mata wang Malaysia di pasaran dunia. Perkembangan industri desa turut membantu dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup sesebuah keluarga. Program “Satu Daerah Satu Produk” yang dilancarkan oleh kerajaan Melaka turut membuktikan sambutan yang menggalakkan daripada rakyat terhadap industri tersebut. Menerusi program ini, penduduk kampung dapat menghasilkan produk berkualiti dan memasarkan sendiri produk tersebut tanpa campur tangan orang tengah. Sebelum ini, produk penduduk kampung dibeli oleh orang tengah dengan harga yang rendah dan dipasarkan pula dengan harga yang tinggi. Situasi ini akan menyebabkan penduduk kampung tertindas oleh manipulasi harga pihak ketiga ini.

Selain kepentingan dari segi ekonomi, industri desa mampu mengekalkan nilai-nilai seni tradisi dan kebudayaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Menerusi industri desa juga, kemajuan sektor pelancongan turut dapat ditingkatkan. Lazimnya, para pelancong akan membeli sesuatu barangan yang tidak terdapat di negara mereka. Oleh itu, mereka akan membeli barangan kraf tangan dan buah tangan yang lain sebagai tanda kenang-kenangan sewaktu berada di Malaysia. Oleh itu, semua pihak tidak harus meminggirkan industri tersebut yang ternyata mempunyai pelbagai kepentingan yang tersendiri.

 Soalan 2(a) — Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata berpeluang cerah. [2 markah]

(ii) Apakah masalah yang berlaku apabila menggunakan khidmat orang tengah dalam urusan jual
beli? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah produk industri desa masih kurang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan?
Berikan tiga sebab. [4 markah]