17.4.16

Sajak Erti Hidup Bererti


Rangkap
Maksud
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Penyajak sering memikirkan nasib malang hidupnya setiap hari dan tidak pernah menampakkan tanda akan berubah. Tiada sesiapa yang datang menziarahi dirinya yang telah tua dan kesunyian.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Kebahagiaan  hidup yang diimpikan  oleh penyajak  hanya tinggal harapan yang tidak kesampaian sahaja  semasa dia sudah berada di penghujung usia. Anak-anak kandungnya sendiri sudah melupainya dan tidak sanggup untuk menjaganya. Anak-anaknya saling mengelak untuk menjaganya. Penyajak terpaksa mengurus kehidupan diri sendiri dan menanggung penderitaan tanpa tempat bergantung hidup.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun 
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Penyajak berasa dirinya tidak  dihargai dan diperlukan lagi oleh anak-anak kandungnya sendiri. Penyajak berharap agar anak-anaknya sama ada yang sanggup berbakti atau yang telah melupakannya akan diberikan keinsafan. Penyajak berharap mereka dapat hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini. Mereka harus sedar bahawa dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati. Tuhan sahaja yang kekal abadi.