17.4.16

Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus



Rangkap
Maksud
Kuhantar kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kaumesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading.

Penyajak menghantar anak gadisnya ke institusi pengajian tinggi di bandar untuk mengharungi suasana kehidupan dan persekitaran yang berbeza dengan suasana di kampung halaman yang menjalankan aktiviti bersawah padi. Penyajak berharap anaknya berusaha bersungguh-sungguh mempelajari segala disiplin ilmu untuk kebaikan dirinya pada masa hadapan.
Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal.

Penyajak berharap kebebasan yang diperoleh anaknya itu mampu menjadikan dirinya seorang gadis yang pandai menjaga maruah diri dan cekal menghadapi cabaran serta mampu menggunakan kewarasan akal untuk membezakan kebaikan dengan keburukan. Dia berharap anak gadisnya mampu menghadapi pelbagai dugaan apabila berjauhan dengan keluarga.


Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego menghalau pekerti.

Penyajak mengingatkan anaknya bahawa walaupun menara gading merupakan tempat melahirkan bijak pandai dalam pelbagai lapangan ilmu, ada juga anasir jahat yang tersembunyi dan mampu melalaikan serta merosakkan keperibadian seseorang yang masih kurang matang dalam membuat keputusan. Seseorang itu mungkin akan mula menjadi sombong dan terlibat dalam gejala negatif sehingga mengetepikan budi bahasa.

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan duka dan balutan luka
di sayapmu yang patah

Penyajak mengingatkan anak gadisnya supaya bijak membawa diri dan mampu menempuh segala dugaan dan pancaroba sepanjang tempoh pengajiannya. Dia berharap anaknya itu tidak pulang dengan kegagalan dan penyesalan akibat daripada tidak mampu menepis godaan dan cabaran hidup di kampus.