23.11.20

Rumusan kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid dan peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak

Soalan 1 : Rumusan [30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid dan peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

    Telefon pintar wujud hasil perkembangan industri telekomunikasi yang bergerak pantas. Di Malaysia, bilangan murid yang menggunakan telefon pintar semakin meningkat, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan pengguna. Ramai murid berhasrat untuk memiliki telefon pintar kerana mereka terpengaruh dengan parubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga turut dipengaruhi oleh rakan sebaya terutamanya yang telah memiliki telefon pintar. Keinginan untuk memiliki telefon pintar boleh menyebabkan berlakunya kes salah laku seperti kecurian dan pergaduhan.

    Kewujudan telefon pintar yang lengkap dengan kemudahan multimedia pelbagai guna menyebabkan murid sangat teruja untuk memiliki alat komunikasi mudah alih yang canggih ini. Setelah memiliki peralatan tersebut, mereka menjadi mudah leka dengan peranti masing-masing dan seterusnya membawa perubahan ketara terhadap tingkah laku mereka. Murid yang menggunakan telefon pintar lebih mementingkan hiburan berbanding aspek-aspek lain, contohnya dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan. Hal yang demikian boleh membawa kesan negatif terhadap kehidupan seseorang murid. Penggunaan telefon pintar ini juga menyebabkan murid sering berkomunikasi dengan mencemarkan bahasa seperti penggunaan singkatan dan bahasa slanga dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp dan Instagram.

   Telefon pintar turut berperanan sebagai penghubung keluarga, rakan dan sumber maklumat. Namun jika disalahgunakan, telefon pintar tersebut mampu mendatangkan pelbagai keburukan. Keasyikan menggunakan telefon pintar menyebabkan murid mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran seperti tidak menyiapkan kerja sekolah dan tidak mengulang kaji pelajaran. Selain itu, keasyikan bermain telefon pintar sehingga larut malam menyebabkan murid hilang fokus semasa di dalam kelas kerana mengantuk akibat tidak cukup tidur. Lebih buruk lagi, terdapat murid yang bermain telefon ketika di dalam kelas hingga mengganggu sesi pembelajaran. Melalui telefon pintar juga, terdapat pihak-pihak tertentu yang menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya secara sewenang-wenang. Oleh sebab pemikiran yang kurang matang, murid mudah menerima dan mempercayai maklumat tersebut tanpa mengetahui kesahihannya.

    Perkara yang lebih membimbangkan kita ialah keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan murid. Perkara-perkara seperti ini perlu diambil berat oleh semua pihak dalam usaha untuk membendungnya. Oleh itu, larangan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap murid yang membawa telefon bimbit atau telefon pintar ke sekolah ada asasnya dan peraturan ini mesti difahami dan dipatuhi untuk manfaat semua pihak.

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pencarian maklumat. [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa punca murid ingin memiliki telefon pintar.
Nyatakan punca-punca tersebut. [3 markah]

(iii) Penggunaan telefon pintar secara betul dan berhemah banyak membawa kebaikan.
Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk mendidik masyarakat menggunakan telefon pintar dengan berhemah? [4 markah]