31.7.07

Rumusan faktor dadah mesti diperangi

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat rumusan tentang faktor-faktor dadah mesti diperangi dan rintangannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahaya yang berpunca daripada ancaman dadah diakui oleh beberapa pihak tetapi langkah pencegahannya agak kurang berjaya. Oleh sebab itu, baru-baru ini kerajaan dan agensinya iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan perang besar-besaran menentang penyalahgunaan dadah di Malaysia. Kempen yang dikenal sebagai “Enam Jahanam” itu ditujukan kepada penghapusan heroin, morfin, syabu, pil ecstasy, ganja, dan candu kerana keenam-enam jenis dadah itulah yang paling banyak disalahgunakan oleh penagih di negara ini. Perang besar menentang dadah ini akan berterusan sehingga penyalahgunaan semua jenis dadah itu dapat dihapuskan.
Kita telah memerangi dadah lebih daripada 20 tahun menerusi pelbagai kempen dan seminar tetapi kejayaannya belum ketara. Menurut laporan pihak berkuasa, sejumlah 274 923 penagih dadah dapat dikesan sejak tahun 1998 sehingga Januari lalu di negara ini. Hal yang menyedihkan daripada angkara dadah ialah penagihnya banyak membabitkan golongan muda dalam lingkungan usia 19 hingga 39 tahun. Lebih malang lagi, pembabitan dalam kes penagihan dadah ini turut membuatkan keluarga mereka menderita dan hidup tak keruan. Tenaga muda ini kalau dimanfaatkan akan menjadi aset negara yang sangat berharga. Namun demikian, dadah telah melalaikan mereka daripada menyertai pertubuhan belia dan sukan yang membolehkan mereka menggunakan masa lapang sebaik-baiknya melalui kegiatan yang sihat dan bermakna ini. Kita pasti gembira kalau golongan muda ini dapat hidup dengan sihat dan selamat serta disayangi oleh semua orang.
Penagih dadah hidup bagaikan bangkai bernyawa dan tidak dapat menyumbang tenaga untuk pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, sewajarnya kita mengelakkan diri daripada terjebak dalam musibah yang sangat berbahaya ini. Tambahan pula, kepuasan yang dirasai daripada perbuatan menagih dadah itu sekejap saja, sedangkan penderitaannya berpanjangan. Sesiapa yang sudah terjebak dalam kancah penagihan dadah mestilah berazam untuk meninggalkannya dengan berusaha mengubati ketagihannya.
Perkara yang tidak dapat diabaikan ialah penagihan dadah akan membawa masalah lain termasuk jangkitan HIV dan AIDS serta penagih mudah terlibat dalam perlakuan jenayah. Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, kerajaan telah berikrar akan bekerja kuat untuk memeranginya. Rakyat haruslah memberi sokongan padu terhadap usaha serius kerajaan menjadikan Malaysia negara yang bebas daripada dadah menjelang tahun 2015.
Kita tetap menerima hakikat bahawa bukanlah suatu tugas mudah untuk memulihkan penagih dadah. Apabila sudah ketagih, mangsanya akan terus menagih dadah dan menderita sepanjang masa melainkan ada semangat yang kental dalam jiwa orang itu untuk memeranginya. Melalui kerja keras pelbagai pihak yang disertai izin daripada Allah, kita berharap agar negara kita dapat merungkaikan diri daripada terus menjadi mangsa dadah. Kita berdoa mudah-mudahan masalah ini tidak akan menghantui kita lagi.

Soalan 2(a) : Petikan Umum (9 markah)
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Jelaskan maksud langkah pencegahannya agak kurang berjaya. [2 markah]

(ii) Apakah harapan yng diletakkan terhadap golongan muda di negara ini? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang memungkinkan golongan muda terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah? [4 markah]