5.1.08

Rumusan kepentingan proses kitar semula

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan proses kitar semula dan masalah-masalah pelaksanaannya di Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Proses kitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan menggunakan semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah. Kitar semula memungkinkan bahan­-bahan yang terbuang dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Tahukah anda bahawa rakyat Malaysia membuang sampah-sarap dalam pelbagai bentuk pada kadar 15000 tan sehari? Apakah yang akan berlaku dalam tempoh sepuluh tahun jika keadaan ini berterusan?

Sisa bahan buangan yang terdiri daripada 27% kertas, 36.5% sisa buangan dari rumah, 3.9% besi, 3.7% kaca, 16.4% plastik dan 12.5% lain-lain. Hal ini akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Pembuangan sampah dan sisa buangan rumah dilonggokkan di tepi-tepi jalan bukan sahaja menyakitkan mata memandangnya, malah bau yang busuk tentu sahaja mengganggu keselesaan kita. Lebih teruk lagi kesannya akan mengancam sistem air bawah tanah yang menjadi salah satu punca sumber air dalam kehidupan kita. Kita sering kali merungut apabila sampah melewati kawasan rumah kita kerana baunya yang busuk. Hal ini seharusnya kita ambil sebagai iktibar kerana jika kitar semula tidak diamalkan dan kita sendiri mengambil sikap endah tak endah, kita akan dibelenggu oleh bau yang busuk sepanjang masa. Melalui amalan kitar semula, kita dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar demi kesejahteraan hidup.

Kerajaan amat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kempen kitar semula untuk memastikan ruang hidup manusia akan terus terpelihara. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 buah tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya dianggarkan berkeluasan 20 hingga 150 ekar bergantung kepada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Andainya keadaan ini berterusan tentulah kawasan kediaman akan terjejas. Lantaran itu, usaha ini juga dapat menjamin persekitaran yang lebih sihat dan bersih. Keadaan di kawasan pembuangan sampah yang kotor dan menjijikkan tentu sahaja menjadi tempat pembiakan serangga perosak. Oleh itu, proses kitar semula ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah pembuangan sampah, malah dapat mengawal penyakit daripada merebak.

Walaupun aktiviti pengutipan sampah sekarang memberi peluang pekerjaan kepada sesetengah orang, namun jika program kitar semula dilaksanakan, lima kali lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia untuk warga Malaysia. Keperluan terhadap jurutera, pakar mesin, pakar alam sekitar, pekerja am dan sebagainya amat dikehendaki oleh kilang-kilang terbabit. Dari segi jangka panjang, kos untuk melaksanakan kitar semula jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan biaya pemuliharaan alam sekitar yang telah musnah. Oleh itu, masyarakat mestilah dididik supaya peka akan masalah yang kita cipta ini. Pelaksanaan kaedah ini tidak sukar untuk dijayakan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semakin giat menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan buangan menerusi majlis perbandaran di setiap daerah dan kawasan. Malah, kita memuji langkah Jabatan Alam Sekitar yang mengadakan pelbagai aktiviti menerusi media massa dan mengadakan penerangan hingga ke sekolah dalam usaha melahirkan rakyat yang mencintai alam sekitar. Oleh itu, kerjasama yang berterusan oleh semua pihak iaitu individu, masyarakat, pihak berkuasa, media massa, kerajaan dan pihak swasta amat dituntut untuk menjamin pengekalan kebersihan dalam kehidupan.

Soalan 2(a) : Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata menyakitkan mata memandangnya. [2 markah]

(ii) Apakah kesan daripada pembuangan sampah yang tidak terurus? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan alam sekitar dihargai? [4 markah]