Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Arkitek Kota
hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.
kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.
dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.
pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.
dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.
(i) Berikan maksud berhak membina kota. [3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah kawasan mengalami masalah pembangunan yang tidak terkawal? [3 markah]
(iii) Nyatakan tiga pengajaran berdasarkan sajak ini. [3 markah]