2.11.11

Latihan Prosa Klasik - Hikayat Khoja Maimun

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah isterinya mendengar kata suaminya itu, maka perempuan itu pun tersenyum seraya katanya, “Patutlah maka tuan hamba tiada mahu belayar mencari makan. Tidakkah tuan mendengar suatu hikayat?” Maka kata suaminya, ”Betapakah hikayat itu, ceterakan olehmu supaya aku dengar.” Maka kata isterinya,”Ada seorang laki-laki berbagai-bagai ia diperbuat oleh isterinya tiada juga ia marah, dan perempuan itu pun hairanlah melihatkan hal suaminya itu.”

Syahadan adalah pada suatu hari maka fikirlah perempuan itu,”Bahawa banyak benci juga rupanya suami aku ini akan aku, maka demikian ini lakunya, tetapi baik juga aku cuba juga dahului.” Setelah sudah ia berfikir itu maka dipanggilnya seorang perempuan, daripada kejahatannya, maka diberinya memakai cara laki-laki, lalu dibawanya naik ke rumahnya, lalu di hadapan suaminya, itu pun tiada juga ia berkata-kata akan isterinya. Maka perempuan itu pun berkata kepada suaminya,”Apa juga mulanya maka tuan hamba tiada menaruh cemburuan akan hamba? Berbagai-bagai laku hamba tiada juga tuan hamba gusarkan hamba.” Maka kata suaminya, “Sebab pun aku tiada menaruh cemburuan itu, oleh sebab aku sudah melihat orang cemburuan diperduakan oleh isterinya dan berapa laki-laki diperdayakannya berbagai-bagai pulak oleh isterinya itu.” Maka sahut isterinya,”Apakah penglihatan tuan hamba itu?”

(Dipetik daripada 'Hikayat Khoja Maimun’ dalam antologi Harga Remaja)

i. Berikan maksud rangkai kata berbagai-bagai ia diperbuat. [2 markah]

ii. Apakah yang dilakukan oleh perempuan dalam petikan di atas untuk menguji kesabaran suaminya? [3 markah]

iii. Pada pendapat anda, mengapakah ibu bapa mesti sentiasa memelihara kerukunan rumah tangga? [3 markah]