Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda iaitu Bujei yang mengalami kepayahan hidup dan konflik jiwa selepas kematian ibunya, Fatimah ekoran daripada kebakaran di rumah mereka. Kebakaran tersebut berlaku apabila bapa tirinya, Harun yang panas baran dan kejam telah menyepak pelita sehingga akhirnya rumah mereka terbakar. Bujei tidak mampu menyelamatkan ibunya, malah dituduh menjadi penyebab kebakaran itu.
Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dan dipermain-mainkan oleh masyarakat kampung. Bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.
Hidupnya keseorangan dan kesepian. Dia selalu pergi ke sungai untuk bersendirian dan mengingati semula pelbagai kenangan pahit yang dilaluinya.
Kehadiran Adila yang banyak membantunya memulihkan keyakinan diri telah beransur-ansur mengubah perwatakan Bujei dan dia mulai merasai erti kehidupan yang sebenar. Namun banyak dugaan yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila.
Bujei dibuli dan dipermain-mainkan oleh Alias dan kawan-kawannya. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila. Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Alias sanggup merayu kepada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Bujei turut diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana kononnya terlibat dalam perbuatan maksiat semasa menuntut di luar negara. Tujuannya supaya Bujei membenci dan menjauhkan diri daripada Adila.
Kegagalan rancangannya menyebabkan dendam Alias kian membara. Alias meminta bantuan daripada neneknya yang selalu sahaja menurut kemahuannya iaitu Opah Arah untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias akhirnya telah menjadi tidak siuman.
Adila turut menolak hasrat Faizal yang mahu memujuknya kerana dia kecewa dengan sikap Faizal yang berkahwin dengan orang lain.
Orang kampung telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei menjadi orang yang tidak siuman.
Apabila yakin dan berpuas hati bahawa Bujei telah kembali normal dan mampu berdikari, Adila berhasrat untuk kembali ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di sebuah institut swasta. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya, Mak Lamah tentang keputusannya untuk menerima Bujei sebagai pasangan hidupnya.