6.4.16

Gurindam Beberapa Petua Hidup (Za'ba)


Rangkap
Maksud
Fikir dan Kata

Kurang fikir kurang siasat,
Tentu dirimu kelak tersesat.



Seseorang yang kurang berfikir dan kurang teliti sebelum melakukan sesuatu perkara sudah pasti mudah melakukan kesilapan.

Fikir dahulu sebelum berkata,
Supaya terelak silang sengketa.

Sebelum bercakap, seseorang itu hendaklah berfikir terlebih dahulu agar tidak timbul salah faham dan menghindari perbalahan.

Perkataan tajam jika dilepas,
Ibarat beringin, racun dan upas.

Sikap seseorang yang mengucapkan kata-kata pedas, sindiran atau kecaman akan memudaratkan dan membinasakan orang lain.
Kalau mulut tajam dan kasar,
Boleh ditimpa bahaya besar.

Seseorang yang tidak menjaga pertuturan, celopar atau cakap lepas biasanya mudah terjebak dalam kancah kebinasaan dan merosakkan diri sendiri.

Silang Sengketa

Siapa menggemari silang sengketa,
Kelaknya pasti berdukacita.



Individu atau pihak yang cenderung terhadap saling berbalah / bergaduh, lambat laun akan menyesal atas perbuatannya itu.
Silang selisih jangan dicari,
Jika tersua janganlah lari.

Sebarang percanggahan / perbalahan / persengketaan hendaklah dielakkan, tetapi jika terpaksa berdepan dengannya, maka hendaklah dihadapi atau diselesaikan juga.
Ilmu

Jikalau ilmu tiada sempurna,
Tiada berapa ia berguna.



Kalau ilmu / pengetahuan yang diperoleh belum mencukupi, maka ilmu tersebut kurang bermanfaat kepada orang yang mempelajarinya.

Ilmu kepandaian boleh dikejar,
Asal mahu rajin belajar.

Seseorang itu boleh mendapatkan ilmu/ meningkatkan pengetahuan tentang sesuatu perkara  dengan syarat bersungguh-sungguh menuntutnya.

Dunia Pergaulan

Dunia ini taman pergaulan,
Hendaklah pilih sahabat dan taulan.



Seseorang itu sememangnya perlu bergaul/ berinteraksi dengan orang lain dalam kehidupan harian. Walau bagaimanapun, kita mestilah berhati-hati memilih teman karib dan rakan.

Manusia dikenal sifat budinya,
Dengan dilihat siapa kawannya.

Seseorang itu dapat dinilai pekerti / keperibadiannya menerusi pemerhatian terhadap rakan yang bergaul dengannya.

Burung yang sama corak dan bulu,
Selalu sekumpul ke hilir ke hulu.

Keadaan tersebut diumpamakan kawanan burung yang pada zahirnya serupa, tentulah sentiasa bersama ke mana-mana.

Sifat-sifat Yang Baik

Jikalau kamu bersifat budiman,
Dipandang sebagai bunga di taman.



Kalau seseorang itu mempunyi budi pekerti yang mulia, maka dia akan disukai dan disanjung tinggi.
Jikalau kamu bersifat dermawan,
Segala orang dapat kautawan.

Andai seseorang itu suka menderma, semua orang mudah mengikut kata-katanya.
Jikalau kamu bersifat pemurah,
Segala manusia datang menyerah.

Andai seseorang itu suka memberi, semua orang bersedia menyokong/ menolongnya.
Perbuatan Yang Baik

Barang siapa berbuat jasa,
Mulia namanya segenap masa.



Orang yang suka berbakti akan sentiasa dihormati dan dikenang sampai bila-bila.

Menolong sesama wajib dan perlu,
Tetapi tolonglah dirimu dahulu.

Perbuatan membantu orang lain suatu kemestian, tetapi pastikanlah keperluan diri sendiri sudah mencukupi.

Sifat-sifat Yang Jahat

Telunjuk lurus kelengkeng berkait,
Hati sesama menjadi pahit.



Jika hanya pada zahirnya kelihatan baik sedangkan di hati tersembunyi kejahatan / khianat, maka kedua-dua belah pihak akan menyimpan rasa curiga / tidak percaya terhadap satu sama lain/ menjejaskan perhubungan silaturahim.

Barang siapa berbuat khianat,
Tuhan kelak memberi laknat.

Seseorang yang suka berbuat jahat / aniaya / belot / curang, maka dia akan beroleh balasan keji / terkutuk / kemurkaan Allah.