8.4.16

Latihan Prosa Tradisional - Burung Terbang Dipipiskan Lada

2(c) Petikan Prosa Tradisional
       Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudi­an jawab soalan-soalan yang   
       berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

      ”Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersunggguh-sungguh hatinya; kurang-kurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawan anak isterinya bersungguh-sungguh."

     Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, "Benarlah seperti kata Tun Perak itu.”

     Maka diambil baginda sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, "Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri.”

     Hatta, maka orang Siam pun datanglah, lalu perang dengan orang Melaka. Ada beberapa lamanya berperang, maka banyaklah rakyat Siam yang mati. Melaka tiada alah. Maka rakyat Siam pun kembalilah, seraya ia pulang segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu pun tumbuh; itulah dinamai orang Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, datang sekarang ini di hulu Muar jua, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, datang sekarang.

(Dipetik daripada prosa tradisional ‘Burung Terbang Dipipiskan Lada’ dalam Antologi Sejadah Rindu)

i.   Berikan maksud datang sekarang dalam petikan di atas. [2 markah]

ii.  Perihalkan perkara yang melibatkan tentera Siam dalam peperangan dengan Melaka. [3 markah]

iii. Pada pendapat anda, mengapakah peperangan antara dua buah negara yang bermusuhan mesti
     dielakkan? [3 markah]