Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggarnya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita."
Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini."
Maka segala orang Siam pun kembalilah.
Adapun perigi di Batu Pahat itu, orang Siamlah membuat dia. Maka diikut oleh Bendahara Paduka Raja sampai ke Singapura. Maka bendahara pun kembali ke Melaka menghadap Sultan Muzafar Syah. Maka segala perihal ehwal itu sekaliannya dipersembahkan oleh bendahara Ke Bawah Duli Sultan. Maka baginda pun terlalu suka; maka baginda pun memberi persalinan akan Bendahara Paduka Raja daripada pakaian yang mulia-mulia, dengan segala hulubalang yang pergi bersama-sama itu semuanya dianugerahi baginda persalinan masing-masing pada kadarnya.
(Dipetik daripada 'Hikayat Burung Terbang Dipipiskan Lada' daiam antologi Sejadah Rindu)
(i) Bagaimanakah Sultan Muzafar Syah menghargai jasa angkatan perang Bendahara
Paduka Raja yang berjaya mempertahankan Melaka daripada serangan Siam? [2 markah]
(ii) Dalam menghadapi serangan tentera Siam, Bendahara Paduka Raja telah mengatur beberapa strategi untuk memastikan kemenangan Melaka.
Nyatakan strategi-strategi tersebut. [3 markah]
(iii) Terdapat pelbagai cara untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Pada pendapat anda, apakah cara-cara untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh? [3 markah]
2.6.16
Petikan Prosa Tradisional
Aspek: Prosa Klasik - soalan Dikirim oleh monasrim pada 20:35