Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Cuma sejak kematian Wak Sadir, anaknya, Ahmad Mutawakkil, yang sudah yatim piatu itu menjadi satu-satunya anak kampung yang sentiasa keluar masuk ke pekarangan estet Tuan Booth.
“Eloklah... paling tidak, dia bekerja dengan Orang Putih tu, belajar mencari makan sendiri.“ Begitulah pandangan kami. Walaupun hasil getah Tuan Booth setiap tahun nampaknya sangat menjadi, kami tetap bertani secara tradisi.
Di kebun, berselerak pokok pisang yang ditanam, berselang-seli dengan ubi kayu dan keledek. Sawah pula, laksana lautan emas kala musim menuai. Kami tetap orang kampung yang dulu, yang hidup atas dua matlamat – rezeki dan ibadat.
Tatkala bom pertama meledak, diikuti oleh rentetan dentuman meriam serta serangan kapal terbang, seluruh ketenangan hidup warisan moyang-poyang kami terasa tersentap pergi dan terlucut begitu saja daripada genggaman. Sebaik-baik saja perang pecah pada tahun 1941 dan Jepun masuk, keadaan jadi berkecamuk. Suasana kehidupan kampung dipengap ketakutan. Namun, kami bersyukur atas dua perkara. Pertama, kampung kami terpencil, maka jarang-jaranglah dihendap oleh Jepun. Garisan perang pula tidak melintang di atas tanah kami, maka itu, tiada seorang pun antara kami yang pernah diratah atau dirobek peluru. Kedua, kami bersyukur kerana kacau-bilau zaman Jepun menyedarkan kami betapa hinanya hidup terjajah.
Seminggu sebelum Jepun tiba, Tuan Booth sudah berundur. Kami nampak keretanya menyusur pergi merentasi jalan kampung. Isterinya sugul sekali. Anak perempuannya yang berusia sekitar sepuluh tahun itu merengkuh di tingkap kereta sambil tersenyum hambar memandang anak-anak kampung yang berlari mengekori kereta.
Di hadapan pagar estet, Ahmad Mutawakkil berjalan lesu. Sudah tiga tahun banglo dan estet itu menjadi tempatnya menumpang nasib. Akhirnya, khabar tentang serangan Jepun mengakhiri kisah pergaulannya dengan keluarga Tuan Booth.
Dipetik daripada cerpen Cinta Ahmad Mutawakkil dalam antologi Sejadah Rindu
(i) Berikan maksud dipengap ketakutan. [2 markah]
(ii) .....betapa hinanya hidup terjajah.
Pada pendapat anda, mengapakah hidup terjajah dianggap sebagai kehinaan? [3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran yang lain daripada
keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
21.10.18
Latihan cerpen - Cinta Ahmad Mutawakkil
Aspek: Cerpen - latihan Dikirim oleh monasrim pada 18:27