21.10.18

Latihan Cerpen - Munsyi

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

      Cerita bonda suatu hari tatkala saya asyik membelek-belek kitab-kitab lama bertulisan Jawi di dalam almari yang memperincikan sejarah asal usul bumi mewah ini. Saya pandang mata bonda dalam-dalam mencari pengertian sebenar saya anak generasi baharu yang belum mengerti segala-galanya itu. Saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme dan jati diri dalam diri saya. Semangat cinta akan bangsa sendiri kian terhakis dalam jiwa anak-anak generasi material ini. Harapan bonda moga-moga saya menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa saya sendiri yang sedikit demi sedikit mula terhakis di atas tanah sendiri.

      “Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat, dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.” Bonda merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjang-panjang menahan rasa, sebelum bersuara. “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak pernah berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan besar dari zaman ke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.

Dipetik daripada cerpen `Munsyi' dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul.

(i)    Apakah perkara yang diharapkan oleh bonda daripada Mel? [2 markah]

(ii)   Pada pendapat anda, bagaimanakah minat terhadap mata pelajaran Sejarah dapat ditingkatkan dalam kalangan murid di sekolah? [3 markah]

(iii)  Huraikan satu nilai murni yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu nilai murni
yang lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]