Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Sebenarnya, duitku cuma tinggal USD70 selepas aku membeli jaket kulit kijang (aku mengetahui jenisnya setelah Encik Yuksel meneliti jaket tersebut). Aku memandang jaket yang kini terletak di atas katil. Aku hanya membayar USD100 kepada Shahmeem. Dia mengurangkan USD20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda terhutang budi.
Aku tidak nampak praktikalnya jaket itu untuk kegunaan harian di Malaysia. Memakainya pasti akan membuat diri berasa panas dalam cuaca terik di tanah air. Jika keluar negara, jaket itu cuma sesuai dipakai pada musim sejuk.
Menjaganya pasti memerlukan kerapian. Tidak boleh dibasuh. Tidak boleh dilipat sembarangan. Walaupun harganya mahal, jaket kulit bukannya sesuatu yang tahan lasak. Kainnya mudah carik dan jika koyak, tidak dapat dijahit dengan benang.
Lebih penting lagi, seekor atau lebih daripada seekor kijang telah dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit. Sebab itu, tidak ada jaket kulit yang murah. Harganya mahal disebabkan ada nyawa yang terpaksa dikorbankan! Aku merasakan bahawa jaket kulit sebenarnya lambang kemegahan dan kemewahan. Jaket kulit itu seperti lambang pendewaan dan pemujaan diri.
Dipetik daripada cerpen 'Jaket Kulit Kijang dari Istanbul' dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
(i) Apakah masalah yang dihadapi oleh seseorang yang memiliki jaket kulit? [2 markah]
(ii) Kijang merupakan antara haiwan liar yang kian pupus.
Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mengelakkan kepupusan haiwan liar? [3 markah]
(iii) Huraikan satu persoalan dalam petikan di atas dan satu persoalan yang lain daripada keseluruhan cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
21.10.18
Latihan cerpen - Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Aspek: Cerpen - latihan Dikirim oleh monasrim pada 18:32