29.10.18

Latihan Novel

Soalan 4 : Novel [15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

(i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin

(ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop


(a) Huraikan dua latar masa dalam sebuah novel yang anda pelajari. [7 markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu peristiwa yang menggambarkan nilai keprihatinan daripada setiap novel. [8 markah]

Contoh jawapan:
(a)    Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.
       
         Antara latar masa dalam novel ini ialah pada waktu malam. Buktinya, sekumpulan kanak-kanak dari Hiroshima, Jepun tiba di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor pada waktu malam iaitu selepas maghrib untuk mencerap bintang.

         Selain itu, latar masa dalam novel ini ialah pada waktu tengah hari. Buktinya, Budiman yang tiba di rumah disambut oleh Nurul Hafsa pada waktu tengah hari. Seterusnya, mereka menunggu Haji Yassir pulang dari kebun untuk makan tengah hari dan solat zuhur secara berjemaah.

   
(b)      Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih dan Bimasakti Menari.

           Nilai keprihatinan dalam novel Pantai Kasih ialah keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami oleh pesakit. Buktinya, Dr Raiha prihatin terhadap nasib Unong Siron yang terpaksa menjalani pembedahan sendi tulang pinggul beberapa kali. Dia berharap agar pembedahan kali keenam yang dilakukannya merupakan pembedahan yang terakhir untuk membantu menyembuhkan kesakitan yang dialami oleh Unong Siron.

           Nilai keprihatinan dalam novel Bimasakti Menari pula ialah keprihatinan terhadap kesejahteraan alam sekitar. Buktinya, Nurul Hafsa prihatin akan masalah pencemaran cahaya di Kuala Selangor. Dia berusaha mengembalikan kegelapan malam di langit Kuala Selangor supaya aktiviti pencerapan bintang dapat dilakukan dan habitat kelip-kelip di kawasan itu terpelihara.