1.4.19

Latihan Novel

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang berikut:

(i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop

(a) Huraikan dua perwatakan watak utama dalam sebuah novel yang anda pelajari. [7 markah]

(b) Nyatakan dua latar tempat dalam sebuah novel yang anda pelajari.
      Jelaskan peristiwa yang berlaku di tempat-tempat tersebut. [8 markah]

Peraturan Pemarkahan:


(a) Perwatakan watak utama

Novel Pantai Kasih (Dr Raiha)

i. Rajin / Gigih
Dr Raiha rajin belajar sehingga menjadi seorang pakar bedah sama seperti ayahnya. Atas ketekunannya mengharungi pelbagai cabaran, dia telah menjadi seorang pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

ii. Berani
Dr Raiha berani mempertahankan pendiriannya bahawa kesalahan atas kematian anak perempuannya adalah disebabkan oleh Doktor Sadiz. Sikapnya itu tidak disenangi oleh Doktor Sadiz sehinggakan kes mereka itu berlarutan dan menjejaskan nama baiknya sendiri.

iii. Bertanggungjawab
Dr Raiha bertanggungjawab untuk menjalankan pembedahan penggantian sendi tulang pinggul kali keenam ke atas Unong Siron. Raiha berusaha membantunya agar dia dapat pulih dan tidak menghadapi hidup dengan waktu sukar yang sangat panjang dalam kesakitan di hospital.

iv. Prihatin
Dr Raiha prihatin terhadap nasib malang yang menimpa Unong Siron. Baginya, pembedahan penggantian sendi tulang pinggul sebanyak enam kali tidak sepatutnya berlaku apatah lagi Doktor Uwang yang menjalankan pembedahan tersebut ialah doktor pakar yang terkenal.

v. Suka menasihati
Dr Raiha menasihati Felicia Landosi agar tidak melayan ibu Unong Siron dengan kasar. Doktor Raiha mahu Felicia mengambil berat akan kebajikan pesakit dan keluarga mereka.

vi. Tabah
Raiha tabah menghadapi bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya hendak menjadi pakar bedah kerana menganggap tugas tersebut hanya mampu dilakukan oleh orang lelaki sahaja yang tahan dari segi fizikal dan mental.

vii. Penyayang
Raiha sayang akan anaknya Rohayu. Dia nekad untuk melarikan diri bersama anaknya itu kerana tidak sanggup berpisah dengan anaknya itu yang akan dihantar oleh Doktor Sadiz ke pusat rawatan kanak-kanak sindrom Down.


Novel Bimasakti Menari (Nurul Hafsa)

i. Bijak
Nurul Hafsa bijak kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang fizik dan kaji falak dari Universiti Jordan. Dia juga bertugas sebagai pegawai sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor.

ii. Cinta akan alam sekitar
Nurul Hafsa cinta akan alam sekitar kerana berusaha mengembalikan kegelapan malam di Kuala Selangor supaya habitat kelip-kelip di kawasan itu terpelihara.

iii. Tabah
Nurul Hafsa tabah menghadapi dugaan dan ancaman terhadap keselamatannya dalam usaha mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor untuk menjaga habitat kelip-kelip dan memastikan aktiviti pencerapan bintang dapat dilakukan dengan mudah.

iv. Amanah
Nurul Hafsa amanah kerana menepati janjinya dengan Muhammad Taufik untuk meneruskan projek mencerap kehadiran kelip-kelip di Kampung Kuantan sekiranya sesuatu perkara yang buruk menimpa Muhammad Taufik.

v. Berani
Nurul Hafsa berani meneruskan usaha untuk melaksanakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor walaupun keselamatan dirinya terancam.




(b) Latar tempat

Novel Pantai Kasih

Pusat Rawatan Pantai Kasih
Dr Raiha bertugas sebagai pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai Kasih.
Unong Siron mendapatkan rawatan pembedahan sendi tulang pinggulnya di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Apartment Dr Raiha
Tempat tinggal Raiha selepas peristiwa hitam kematian anaknya.

Mahkamah Keluarga
Kes perceraian Raiha dengan Doktor Sadiz dijalankan di Mahkamah Keluarga selepas peristiwa kematian anak perempuan mereka.

Daerah Inanam
Tempat Raiha dan Felicia sama-sama belajar di sekolah rendah

Hospital Kinabalu
Tempat Raiha baharu bertugas di situ.
Tempat Sister Felicia berkhidmat sebagai jururawat.


Novel Bimasakti Menari

Balai Cerap Sultan Salahuddin
Nurul Hafsa bertugas sebagai pegawai sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor.
Nurul Hafsa menerima kunjungan sekumpulan kanak-kanak dari Hiroshima, Jepun yang mahu mencerap bintang di balai cerap itu.

Rumah Ikhtiar Teknoalam
Puan Wickham tinggal di rumah Ikhtiar Teknoalam setelah dipelawa oleh anaknya, Muhammad Taufik semasa dia mengikuti rombongan ke Kuala Selangor.

Kampung Kuantan
Nurul Hafsa memberitahu ayahnya bahawa dia ingin melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan.
Haji Yassir memandu kereta untuk membawa anaknya itu ke tempat orang melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan.

Rumah Haji Yassir
Nurul Hafsa tidak puas melihat langit di rumah ayahnya, Haji Yassir. Hal ini demikian kerana, ayahnya memasang lampu tuju yang kuat di setiap penjuru rumah.
Budiman dan Nurul Hafsa menyambut kepulangan ayah mereka, Haji Yassir yang pulang ke rumah dari kebun untuk makan tengah hari. Kemudian, mereka solat zuhur berjemaah.

Perpustakaan Awam Sultan Sharafuddin
Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berbincang tentang projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Perpustakaan Awam Sultan Sharafuddin.

Pejabat Daerah Kuala Selangor
Nurul Hafsa membuat pembentangan tentang pencemaran cahaya dan kesannya terhadap keadaan
langit dan populasi kelip-kelip di dalam bilik mesyuarat berhawa dingin di Pejabat Daerah Kuala Selangor. Pembentangan itu dilakukan di hadapan pegawai daerah dan panel penasihatnya.

Hospital Besar Tanjung Karang
Muhammad Taufik yang dipukul oleh beberapa orang yang tidak dikenali di kawasan yang gelap dibawa ke Hospital Besar Tanjung Karang. Ketua Inspektor Lim mengesyaki kes kemalangan itu berkemungkinan angkara musuh Muhammad Taufik.

Stesen minyak Petronas
Muhammad Taufik keluar dari kereta ayahnya dan terus ke bahagian belakang stesen minyak Petronas. Dia menghampiri van putih yang berada di hadapan tandas lelaki lalu mengetuk van itu. Pintu van itu terbuka lalu Muhammad Taufik ditarik dengan ganas ke dalam van itu.