27.6.19

Cerpen - Munsyi

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setiap kali saya meluahkan hasrat untuk bermastautin di ibu kota, bonda memberikan pelbagai alasan agar saya terus menetap di kampung halaman tercinta ini. Kata bonda, ilmu agama saya masih terlalu cetek dan nipis. Bimbang, saya akan hanyut dibawa arus hedonisme dan modenisme yang sedang melanda anak-anak muda kota. Malahan, kata bonda lagi, bahasa ibunda saya juga masih lemah. Bahasa yang membesarkan saya dengan segala adat resam dan nilai budaya warisan turun-temurun. Bahasa yang diwarisi nenek moyang sejak zaman-berzaman.

Bonda tahu, secubit ilmu yang mengisi dada saya yang kerdil ini tidak akan mampu mengekang ledakan perubahan sosial yang boleh meragut jati diri saya sebagai generasi bermaruah. Saya akui kebenaran kata-kata bonda tentang malapetaka yang sedang menghinggapi sekian ramai anak-anak sebangsa saya. Kebanyakannya tergadai maruah dan harga diri dek mengejar dunia yang bergelar globalisasi dalam menuju arus perdana.

"Mel, agama dan bangsa itu cermin maruah kita yang ditinggalkan nenek moyang! Jasad yang dibaluti agama serta lidah yang dilebati bahasa ibunda merupakan warisan kita yang masih ada. Andai kedua-dua sudah hilang di atas muka bumi ini, kita bukan lagi generasi bermaruah, tetapi bangsa yang dilaknati Allah."

Pesan bonda itu kekal melebat dalam hati sanubari saya. Pesan mulus yang terpahat lama di pangkal hati. Oleh itu, saya tangguhkan berkali-kali hasrat itu. Hasrat untuk menjengah wajah kota yang pesat dengan kemajuan dan peradaban.

(Dipetik daripada cerpen ‘Munsyi’ dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul)


(i) Nyatakan sebab-sebab bonda tidak membenarkan Mel untuk bermastautin di bandar. [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan semangat jati diri remaja pada
      masa sekarang? [3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen ini yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]




Jawapan:
(i) -ilmu agama Mel masih kurang
     -bimbang Mel akan terpengaruh dengan budaya hedonisme dan modenisme
     -bahasa ibunda Mel masih lemah

(ii) -memperkukuh ilmu agama
      -penerapan semangat cinta akan negara/ jati diri dalam mata pelajaran di sekolah
      -memastikan mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam komunikasi
      -pengajaran tentang sejarah negara merentas kurikulum
      -kempen/ program semangat jati diri secara berterusan
      -pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti remaja/ anak-anak

(iii) latar masyarakat dalam petikan:
      -masyarakat yang kurang penghayatan ilmu agama. Buktinya, Mel ....
      -masyarakat yang sayang akan anak. Buktinya, bonda ....
      -masyarakat yang taat akan nasihat bonda. Buktinya, Mel .....

       latar masyarakat daripada keseluruhan cerpen:
       -masyarakat yang berpegang teguh pada budaya bangsa
       Buktinya, Munsyi lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bertengkolok semasa Mel
       menemuinya di bandar

      -masyarakat yang mementingkan pembangunan material
       Buktinya, jentera berat merobohkan rumah-rumah kayu usang di kota untuk tujuan
       pembangunan