2.10.19

Cerpen - Jaket Kulit Kijang dari Istanbul

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Please...,” aku belum menghabiskan kata-kata. Dia tiba-tiba mengiringkan badan. Tangan kirinya diangkat melepasi kepala dan berkata, “You can go to hell.”

Dua orang pembantu kedai rakannya cuma mendiamkan diri. Barangkali kejadian seperti itu sudah biasa berlaku.

Perasaanku begitu terganggu. Aku sudah bersedekah sebanyak empat kali sejak berada di Turki. Kepada seorang pengait benang yang kesejukan di Pigeon Valley, kepada seorang kanak-kanak bersama-sama dengan datuknya yang buta di Gunung Bolu, kepada seorang lelaki tua yang cacat anggota di masjid Ulu, dan kepada tabung Masjid Biru selepas menunaikan solat jamak. Aku juga tidak lupa akan bacaan Yasin dan al-Mathurat setiap subuh dan maghrib sebagai bekalan musafir. Mengapakah aku menerima layanan sedemikian rupa? Terbayang-bayang wajah pekedai jaket kulit yang pandai berpura-pura itu. Terngiang-ngiang kata-katanya yang amat menghiris rasa itu.

Dr. Liza, Hajah Normah dan Hajah Zalehon tidak menyedari kejadian yang berlaku. Mereka sedang asyik membelek-belek kasut dan beg tangan kulit di kedai sebelah. Kak Chah dan Shahmeem pula sedang menawar harga pewangi daripada seorang peniaga wanita. Aku mencuit bahu Kak Chah lalu mengisyaratkan jari ke arah sebuah kedai menjual seramik. Kak Chah mengangguk. Aku tidak ada niat pun untuk membeli seramik. Aku cuma ingin pergi sejauh mungkin dari depan kedai jaket kulit itu. Pekedai seramik mengalu-alukan kedatanganku. Aku cuma diam membatu.

Semasa di dalam bas pulang ke hotel, aku membaca puisi dalam buku Mevlana Celaleddin Rumi and The Whirling Dervishes yang sempat kubeli semasa melawat makamnya di Konya.

Dipetik daripada cerpen ‘Jaket Kulit Kijang dari Istanbul

(i) Mengapakah ‘aku’ berasa bahawa dia tidak patut mendapat layanan yang buruk? [2 markah]

(ii) Kita perlulah pandai menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang.
      Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menyesuaikan
      diri ketika berada di tempat orang?
      Huraikan dua cara. [3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu latar
       masyarakat yang lain daripada keseluruhan cerpen. [4 markah]

Jawapan:
(i) -dia sudah bersedekah sebanyak empat kali sejak berada di Turki / sudah banyak bersedekah di
      Turki
    -dia tidak lupa akan bacaan Yasin / al-Mathurat (setiap subuh dan maghrib) sebagai bekalan   
      musafir  [2 isi = 2m]

(ii) -bersikap ramah dengan penduduk tempatan supaya mudah mendapatkan pertolongan
      -mengenali adat dan budaya di negara tersebut supaya tidak mnyentuh sensitiviti masyarakat
       setempat
      -bersikap fleksibel / terbuka terhadap teguran masyarakat sekeliling supaya disenangi oleh
       mereka

[1 isi tanpa huraian = 1m / 1 isi + huraian = 2m / 2 isi + huraian = 3m]

(Jawapan lain diterima jika sesuai)

(iii) latar masyarakat dalam petikan cerpen:
      -masyarakat yang pemurah terhadap golongan kurang bernasib baik
       bukti : penulis (‘aku’) telah bersedekah sebanyak empat kali semasa berada di Turki
      -masyarakat yang hidup dalam kesusahan
       bukti : seorang pengait benang yang kesejukan di Pigeon Valley / seorang kanak-kanak bersama-
       sama dengan datuknya yang buta di Gunung Bolu / seorang lelaki tua yang cacat anggota di   
       masjid Ulu
     -masyarakat yang suka berpura-pura
      bukti : penulis terbayang akan penjual / pekedai jaket kulit yang pandai berpura-pura
     -masyarakat yang suka membaca untuk mengisi masa lapang
      bukti : penulis membaca puisi dalam buku Mevlana Celaleddin Rumi and The Whirling
      Dervishes semasa berada di dalam bas

[1 isi + bukti/ contoh = 2m]

      latar masyarakat daripada keseluruhan cerpen:
      -masyarakat yang sayang / prihatin / belas kasihan akan hidupan liar
      bukti : Mas / ‘aku’ sanggup mendermakan hasil jualan jaketnya kepada zoo yang ada kandang
      kijang
     -masyarakat yang berjimat cermat/ berhemat dalam perbelanjaan
     bukti : Mas merancang perbelanjaan semasa berada di Istanbul supaya tidak melebihi bajet
    -masyarakat yang suka akan kemewahan
     bukti : Haji Helmi dan isterinya, Cikgu Juliah telah membeli sebanyak empat helai jaket kulit
     berwarna kuning keemasan dengan harga AS$150 sehelai

[1 isi + bukti/ contoh = 2m]

(Jawapan yang lain diterima jika sesuai)