30.3.20

Bimasakti Menari - Sinopsis

Novel ini memaparkan kisah Nurul Hafsa, iaitu seorang graduan lulusan bidang fizik dan kaji falak di Universiti Jordan. Pada hari pertama bekerja di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor, dia menerima kedatangan rombongan 15 orang murid sekolah rendah dari Hiroshima, Jepun yang diiringi oleh Puan Maryam Wickham Abdullah. Mereka ingin mencerap bintang-bintang di Kuala Selangor. Malangnya, hasrat mereka tidak kesampaian kerana langit terlalu cerah pada malam itu. Mereka juga tidak dapat melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan. kerana masalah pencemaran cahaya daripada pembangunan kawasan sekitar yang semakin pesat.

Kegagalan tersebut membuatkan Nurul Hafsa berazam untuk menjadikan kawasan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap. Dia berazam untuk memastikan lampu-lampu di Kuala Selangor menggunakan gelombang yang rendah. Dengan ini, pantulan cahaya ke langit akan berkurang. Hasrat murni Nurul Hafsa itu disokong oleh Muhammad Taufik, iaitu anak kepada Tan Sri Muhaimin dan Maryam Wickham Abdullah. Muhammad Taufik mahu bersama-sama menjayakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor. Hasil pengaruh Tan Sri Muhaimin, mereka berjaya membuat pembentangan projek Kawasan Simpan Langit Gelap kepada Pegawai Daerah, iaitu Dato’ Haji Mustofa al-Hamidi.

Walau bagaimanapun, projek berkenaan ditentang oleh musuh perniagaan bapa Muhammad Taufik, iaitu Dato' Johann Arlington-Majid. Permusuhan antara Dato’ Johann dengan Tan Sri Muhaimin bukan sahaja dalam bidang perniagaan, bahkan dendamnya itu sebenarnya telah bermula sejak Maryam Wickham Abdullah memilih untuk berkahwin dengan Tan Sri Muhaimin. Namun, Dato’ Johann gembira kerana Tan Sri Muhaimin telah bercerai dengan Maryam Wickham.

Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berjaya membentangkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Menteri Besar Selangor dalam satu majlis di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Dato’ Johann Arlington-Majid turut hadir dalam majlis tersebut. Dia mengemukakan pelbagai soalan semata-mata untuk mempengaruhi Menteri Besar agar membatalkan projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Namun begitu, semua soalan Dato’ Johann Arlington-Majid dijawab dengan bijak dan rasional oleh Nurul Hafsa. Menteri Besar menerima cadangan projek tersebut.

Sempena projek Kawasan Simpan Langit Gelap ingin diwartakan, tender pembekalan lampu full cut off akan dikeluarkan. Dato' Johann Arlington-Majid bertambah marah kerana lampu-lampu itu tidak dapat dibekalkan oleh syarikatnya. Tender itu pasti akan menjadi milik syarikat Tan Sri Muhaimin. Lantaran itu, Dato' Johann Arlington-Majid merancang perkara yang buruk terhadap Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa supaya Menteri Besar membatalkan projek tersebut. Muhammad Taufik telah diserang ketika balik dari masjid. Muhamad Taufik dijumpai berlumuran darah oleh Nurul Hafsa dan abangnya, Budiman.

Selepas menerima rawatan di hospital, Tan Sri Muhaimin meminta Muhammad Taufik mengikut ibunya pulang ke Otago, New Zealand demi keselamatannya. Sewaktu bersiap-siap untuk keluar dari hospital, Muhammad Taufik menerima jambangan bunga yang dibungkus dengan kain hitam berhias manik kristal milik Nurul Hafsa. Secebis kertas terjatuh ketika dia meleraikan kain itu. Kertas itu tercatat arahan agar dia pergi ke stesen minyak PETRONAS seorang diri. Oleh hal yang demikian, sewaktu dalam perjalanan ke lapangan terbang, Muhammad Tauifik meminta pemandu Tan Sri Muhaimin berhenti di stesen minyak PETRONAS tersebut dengan alasan dia hendak ke tandas. Muhammad Taufik telah diculik dan dibawa ke sebuah rumah di kebun kelapa sawit. Di situlah juga Nuruf Hafsa dikurung selepas diculik.

Berita penculikan Muhammad Taufik telah menjadi berita hangat. Pihak polis berusaha menjejaki penjenayah. Sementara itu, Nurul Hafsa telah dilepaskan oleh penculik di satu kawasan estet. Nurul Hafsa membuat laporan penculikannya dan Muhammad Taufik di balai polis. Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, pihak polis berjaya mengesan sebuah rumah di kawasan ladang di Bestari Jaya. Anggota Pasukan Gerak Khas telah dikerahkan untuk memberkas penjenayah sekali gus menyelamatkan Muhammad Taufik.

Selepas peristiwa tersebut, hubungan Muhammad Taufik dengan Nurul Hafsa semakin rapat. lbu bapa Muhammad Taufik iaitu Tan Sri Muhaimin dan Maryam Wickham Abdullah pula mengambil keputusan untuk berkahwin semula. Muhammad Taufik melahirkan hasratnya untuk meminang Nurul Hafsa. Dia mengibaratkan dirinya dan Nurul Hafsa sebagai dua ekor kelip-kelip terakhir di dunia.