28.6.20

Bimasakti Menari - Latar Masyarakat

i.   Masyarakat yang prihatin akan alam sekitar
Contoh : Nurul Hafsa prihatin akan masalah pencemaran cahaya di Kuala Selangor dan berusaha mengembalikan kegelapan langit di kawasan itu supaya aktiviti mencerap bintang dapat dilakukan dan habitat kelip-kelip terpelihara.

ii.  Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap anak/ ahli keluarga
Contoh : Tan Sri Muhaimin bertanggungjawab membesarkan anak tunggalnya, Muhammad
Taufik dengan berusaha memenuhi segala keperluannya selepas berpisah dengan Maryam Wickham.

Contoh : Budiman bertanggungjawab terhadap keselamatan Nurul Hafsa apabila menemani adiknya itu semasa bertemu dengan Muhammad Taufik di Perpustakaan Awam Sultan Sarafuddin, Kuala Selangor selain menjaga tatatertib perhubungan antara lelaki dengan wanita bukan mahram.

iii. Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan
Contoh : Nurul Hafsa tabah menghadapi dugaan dan ancaman terhadap keselamatan dirinya daripada Dato’ Johann Arlington Majid dalam usaha memastikan projek Kawasan Simpan Langit Gelap menjadi kenyataan.

iv. Masyarakat yang kasih akan anak
Contoh : Maryam Wickham Abdullah memberitahu Muhammad Taufik bahawa dia menyayangi dan selalu rindu akan anaknya itu. Maryam Wickham juga menjelaskan dia berbangga dengan anaknya itu.

v. Masyarakat yang taat akan suruhan agama
Contoh : Haji Yassir sekeluarga, Tan Sri Muhaimin dan Maryam Wickham taat akan suruhan agama dengan segera menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau hospital apabila mendengar laungan azan dari masjid Tanjung Karang.

Contoh : Nurul Hafsa, Budiman dan ayah mereka, Haji Yassir taat akan suruhan agama dengan menunaikan solat Zohor secara berjemaah selepas makan tengah hari.

vi. Masyarakat yang gigih dalam menjalankan tugas
Contoh : Nurul Hafsa gigih dalam usahanya meneruskan projek mencerap kehadiran kelip-
kelip di Kampung Kuantan kerana dia telah berjanji dengan Muhammad Taufik bahawa dia akan tetap meneruskan projek itu sekiranya sesuatu perkara yang buruk menimpa Muhammad Taufik.

vii. Masyarakat yang berani menghadapi risiko
Contoh : Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berani meneruskan usaha untuk melaksanakan
projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor walaupun keselamatan diri mereka terancam.

viii. Masyarakat yang berjimat cermat dalam urusan harian
Contoh : Haji Yassir berjimat dalam penggunaan air dengan menadah air hujan di dalam
tempayan untuk kegunaan menyiram pokok dan membasuh, walaupun di rumahnya ada bekalan air paip.

ix. Masyarakat yang bijak menangani masalah
Contoh : Nurul Hafsa bijak mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan
pengunjung Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor yang kecewa kerana bintang tidak dapat dicerap dengan mata kasar akibat daripada pencemaran cahaya.

x. Masyarakat yang suka berdendam dengan orang lain
Contoh : Dato’ Johann Arlington-Majid menaruh dendam yang tidak pernah padam terhadap
Tan Sri Muhaimin kerana Maryam Wickham memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami. Johann bertindak jahat dengan merancang penculikan anak mereka, iaitu Muhammad Taufik.