23.7.20

Drama - Berkhidmat untuk Negara

Sinopsis

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang murid berusia 17 tahun yang memberikan berbagai-bagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Setelah menerima sepucuk surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara, Aiman mengalami konflik dalaman kerana dia tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN disebabkan pengetahuan serta pemahamannya yang kurang tentang kebaikan seseorang remaja mengikuti program berkenaan. Selain itu, dia beranggapan bahawa PLKN akan menyusahkannya kerana dia berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa hidup dalam kemewahan.

Konflik antara Aiman dengan Nek Sinah bermula apabila dia merasakan Nek Sinah seolah-olah mengatur kehidupannya apabila menjemputnya untuk makan tengah hari. Oleh itu, dia telah melayan orang gajinya itu dengan kasar dan kurang sopan. Nek Sinah kecewa dengan sikap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua. Kerana perasaan kasihnya kepada Aiman, dia tetap memasak makanan kegemaran Aiman walaupun dimarahi oleh anak tuan rumahnya itu. Nek Sinah hanya bersabar ketika berhadapan dengan kerenah Aiman itu.

Cerita diteruskan dengan peristiwa Aiman di sekolah. Kawan-kawannya memberitahu Aiman tentang namanya yang telah terpilih bagi mengikuti PLKN. Aiman tawar hati apabila mendengar berita itu. Kawan-kawannya berbincang tentang program itu. Masing-masing berasa gembira kerana terpilih sebagai pelatih baharu PLKN kecuali Aiman. Semasa sesi pembelajaran di kelas, Cikgu Dahari telah memberikan penerangan tentang PLKN.

Setelah pulang dari sekolah, Aiman mengemukakan masalah pemilihan namanya sebagai salah seorang pelatih PLKN kepada bapanya, Khir Ghazali bagi meraih simpati dan pertolongan. Hasrat Aiman meminta bantuan bapanya yang mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk mengecualikan penyertaannya dalam PLKN tidak kesampaian apabila bapanya menolak kemahuannya. Sebaliknya, Khir Ghazali bertegas agar anaknya itu mengikuti PLKN kerana program tersebut mempunyai banyak kebaikan. Sementara itu, Masnah, iaitu ibu Aiman pula menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan anaknya. Masnah gagal memujuk Khir Ghazali agar mengiut kemahuan Aiman.

Ketika Aiman melayari internet di biliknya, dia telah terbaca berita tentang kejayaan seniornya, Syufia mendapat anugerah pelatih terbaik wirawati di Kem Gerakhas, Desaru, Johor dan juga seniornya, Ziman yang berjaya hidup berdikari selepas menjalani program PLKN. Kejayaan mereka itu telah menyuntik semangat baharu dalam dirinya. Akhirnya, Aiman tersedar akan kesilapannya yang memberikan tanggapan negatif terhadap pelaksanaan PLKN. Aiman berjanji akan mengikuti PLKN bagi membentuk dirinya supaya mampu berdikari, dan seterusnya menyahut seruan berkhidmat untuk tanah air tercinta.