23.7.20

Novel - contoh soalan

(a) Jelaskan dua perwatakan watak utama berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari. [7m]

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih. Watak utama dalam novel ini ialah Dr Raiha.

Antara perwatakan Dr Raiha ialah dia seorang wanita yang rajin. Buktinya, Raiha rajin belajar sehingga menjadi seorang doktor seperti ayahnya. Atas ketekunannya mengharungi pelbagai cabaran, dia telah menjadi seorang pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Selain itu, Dr Raiha seorang doktor yang prihatin. Buktinya, dia prihatin terhadap nasib malang yang menimpa Unong Siron dengan menjalankan pembedahan penggantian sendi tulang pinggul bagi kali yang keenam ke atas gadis itu untuk membantu memulihkannya.


(a) Huraikan satu latar masyarakat dalam setiap novel yang anda kaji. [7m]

Novel yang saya kaji ialah Pantai Kasih dan Bimasakti Menari.

Latar masyarakat dalam novel Pantai Kasih ialah masyarakat yang mengutamakan keuntungan kewangan berbanding dengan kebajikan orang lain. Buktinya, Doktor Uwang lebih memikirkan keuntungan yang berlipat ganda selepas mengambil alih Pusat Rawatan Pantai Kasih tanpa menghiraukan kemampuan kewangan keluarga pesakit.

Latar masyarakat dalam novel Bimasakti Menari pula ialah masyarakat yang prihatin akan masalah pencemaran alam sekitar. Buktinya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik prihatin terhadap pencemaran cahaya yang berlaku di Kuala Selangor dan berazam untuk menangani masalah tersebut akibat daripada pembangunan yang tidak terancang melalui projek Kawasan Simpan Langit Gelap.


(a) Bahagian permulaan sebuah novel memainkan peranan yang penting kepada pembaca untuk meneruskan pembacaan. Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua sebab bahagian permulaan novel itu menarik minat anda. [7m]

Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

Bahagian permulaan novel ini menarik minat saya kerana menonjolkan kebijaksanaan anak tempatan memberikan penerangan tentang gugusan bintang kepada pelancong asing. Buktinya, pada peringkat awal cerita tersebut, Nurul Hafsa yang bertugas sebagai pegawai sains begitu bijak memberikan penerangan yang menarik kepada pelancong asing yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah dari Hiroshima, Jepun yang melawat Balai Cerap Sultan Salahuddin.

Selain itu, bahagian permulaan novel itu menarik minat minat saya kerana telah menonjolkan keistimewaaan tempat yang menjadi latar cerita yang menjadi tumpuan pelancong serata dunia. Buktinya, pengarang menjelaskan keistimewaan Kuala Selangor yang mempunyai Balai Cerap Sultan Salahuddin di Kuala Selangor yang menjadi tumpuan pencerap bintang serta terkenal kerana menjadi habitat kelip-kelip.


(b) Sesebuah novel dapat menimbulkan kesedaran kepada pembaca.
Berdasarkan dua buah novel yang telah anda kaji, jelaskan satu peristiwa daripada setiap novel yang menimbulkan kesedaran kepada pembaca. [8m]

Novel yang saya kaji ialah Pantai Kasih dan Bimasakti Menari.

Peristiwa yang menimbulkan kesedaran dalam novel Pantai Kasih ialah apabila Raiha tabah menghadapi ancaman daripada suaminya, Dr Sadiz termasuk paksaan supaya dia menggugurkan anak dalam kandungannya yang cacat. Peristiwa ini menyedarkan pembaca supaya kasih akan anak dan sentiasa tabah semasa menghadapi dugaan dalam kehidupan.

Peristiwa yang menimbulkan kesedaran dalam novel Bimasakti Menari pula ialah semasa Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik bekerjasama menyediakan laporan tentang Kawasan Simpan Langit Gelap untuk dibentangkan kepada Menteri Besar. Peristiwa ini menyedarkan pembaca tentang kepentingan bekerjasama dan saling membantu dalam melaksanakan sesuatu tugasan bagi memperoleh hasil yang terbaik.