13.8.20

Latihan cerpen - Cinta Ahmad Mutawakkil

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sekalipun secara terbuka Ahmad Mutawakkil berjuang menentang Inggeris, dia tetap akrab dan mesra dengan keluarga Tuan Booth yang kembali ke estet sebaik-baik saja Jepun kalah.

"Saya suka pemuda yang berani," kata Tuan Booth. "Sekarang," kata Orang Putih itu lagi, "di mana-mana, orang Melayu sudah lawan Inggeris, dan Ahmad Mutawakkil nasionalis Melayu paling muda."

Sejak kembali, Tuan Booth jauh berubah. Dia tak lagi terperap di estet. Pada setiap petang, biasanya selepas solat asar, dia akan menjengah ke surau. Dia akan duduk berbual-bual, bercerita itu ini, terutama dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.

Ada sekali, sewaktu Ahmad Mutawakkil balik ke kampung, Tuan Booth mengundang kami ke banglonya.

"Dia pelawa kita minum teh di banglonya," kata Ahmad Mutawakkil. "Saya fikir, Tuan Booth ikhlas nak berbaik-baik."

Kami terdiam, tak berani bersuara, menantikan kata putus daripada Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.

Akhirnya, setelah agak lama buntu, Ahmad Mutawakkil meluahkan pandangan.

"Selama Tuan Booth di sini, sejak dulu lagi, tak pernah dia memusuhi kita. Jadi, saya fikir atas sifat hati Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan."

Dipetik daripada cerpen 'Cinta Ahmad Mutawakkil'


(i) Apakah perkara yang selalu dilakukan oleh Tuan Booth apabila kembali menetap di estet selepas kekalahan tentera Jepun? [2 markah]

(ii) Banyak negara di dunia ini yang pernah melalui zaman penjajahan.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan sesebuah negara itu daripada dijajah? [3 markah]

(iii) Huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam petikan di atas dan satu latar masyarakat yang lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]